Norizam Tukiman mengumumkan sesiapa yang memakai jersi ‘original’ TRW Kelantan FC akan mendapat 30% diskaun apabila mendaftar masuk ke rangkaian Hotel Zamburger.
Beliau yang juga pemilik pasukan TRW Kelantan FC, rangkaian Hotel Zamburger dan Zamburger mengumumkan perkara berkenaan di laman sosialnya menerusi satu komen yang ditinggalkannya.
Dalam hantaran tersebut, Norizam mempromosikan salah sebuah hotelnya yang terletak di Jonker Walk, Melaka.
“Untuk sementara ini pakai jersi original Kelantan FC dapat 30% diskaun.” tulis Norizam membalas komen seorang penyokong pasukan berpangkalan di pantai timur, Jijol.
Norizam yang merupakan usahawan dari negeri Johor diumumkan sebagai pemilik baharu TRW Kelantan FC apabila membeli pasukan tersebut pada awal september lalu.
Sejak mengambil alih pasukan tersebut, beberapa perancangan dan pelan pembaharuan dilakukan Norizam untuk memastikan TRW Kelantan FC kembali menjadi salah sebuah pasukan gergasi bola sepak tanah air.
Antaranya mengumumkan untuk membina sebuah pusat latihan moden berbumbung serta mahu membawa TRW Kelantan FC disenaraikan di pasaran saham dalam tempoh lima tahun akan datang.