Nike Malaysia membuat kejutan dengan menghantar dua karton barangan kelengkapan sukan jenama tersebut kepada pemain remaja Red Star Belgrade, Omar Raiyan pada ulang tahun kelahirannya.
Omar Raiyan merupakan pemain muda berketurunan Malaysia yang kini menetap bersama keluarganya di Serbia. Dia merupakan produk Manchester City Football School Abu Dhabi dimana dia kerap dipilih untuk ulang alik ke Manchester City Academy di Manchester.
Selain itu, Omar juga ke Sepanyol berada di bawah naungan program terpilih Du Laliga HPC (High Performance Center) untuk berlatih dan bermain perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Perdana Sepanyol seperti Celto Vigo, Malaga, Cadiz dan Granada.
Menerusi perkongsian oleh ejennya, Razeen Khalid dari ACTIV8 Sports Agency, antara barangan kelengkapan sukan yang diberikan oleh Nike Malaysia adalah but Phantom GT (3 pasang), kasut larian Infinity, kasut Zoom Metcon, kasut Air Max 270 React, t-shirt, seluar pendek, stokin, beg galas dan beg Vapor Duffel.
Kesemua barangan itu dihantar terus ke kedutaan Malaysia di Serbia yang terletak di Belgrade. Ianya tiba tepat kepada Omar pada 3 Oktober 2020 iaitu ulang tahun kelahirannya yang ke-16.
Ketika ini, Omar beraksi bersama skuad Red Star Belgrade Bawah 17 Tahun (B-17) dan sudah beberapa kali dijemput berlatih bersama skuad Bawah 19 Tahun (B-19). Pemain berkaki kiri ini mampu bermain di beberapa posisi seperti pemain tengah, penyerang kanan dan pertahanan kiri.