Artikel

Pemilik TRW Kelantan FC Risik Khidmat ‘Lewandowski’

Pemilik pasukan TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman sedang merancang untuk mendapatkan khidmat pemain import dari benua eropah dan secara spesifiknya dari negara Poland.

Menurut Norizam, pemain Poland menjadi sasarannya kerana mereka berada dalam kalangan pasukan 20 terbaik dunia mengikut ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika ini, Poland menduduki tangga ke-19 dunia – kedudukan yang lebih baik berbanding beberapa pasukan ternama eropah yang lain seperti Wales, Ukraine, Serbia dan Turki.

Tambahnya lagi, faktor matawang negara Poland yang hampir sama dengan nilai di negara kita turut menarik minatnya. Berdasarkan nilai tukaran, RM1 bersamaan dengan nilai sekitar 0.92 Zloty Poland.

“Betul (mahu) ambil pemain dari Poland, saya ada merisik pemain-pemain dari eropah, saya pun ada rakan niaga di Poland, 

“Kerana Poland adalah sebuah negara yang mempunyai ranking yang dikira baik di dunia dan pernah masuk (kejohanan) Piala Dunia, dan nilai matawangnya sama dengan matawang (Ringgit) Malaysia.” katanya dalam satu temu ramah bersama Radio Zamburger, semalam.

Sementara itu, Norizam tidak menolak untuk mendapatkan pemain-pemain dari benua lain seperti asia dan amerika selatan.

Sempat juga beliau berseloroh untuk mendapatkan penyerang FC Barcelona, Lionel Messi sekiranya ada kalangan penyokong-penyokong Kelantan FC yang mahu memberikan penajaan.

Lionel Messi – Foto: FC Barcelona

“Jadi saya nak mencuba pemain-pemain dari Poland tetapi saya juga terbuka untuk melihat pemain dari Jepun dan Argentina.

“Jika ada penyokong-penyokong (Kelantan) yang ada duit lebih mungkin kita boleh ambil (Lionel) Messi.” ujarnya sambil ditemani oleh ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

Untuk saingan Liga Premier 2020, TRW Kelantan FC empat pemain import iaitu pertahanan Masaki Watanabe (Jepun), pemain tengah Kang Seung-jo (Korea Selatan), penyerang Lazarus Kaimbi (Namibia) dan Felix Odili (Nigeria).

komen