Litar Aragon, Sepanyol bakal menjadi perlumbaan yang sukar buat pelumba Monster Energy Yamaha, Valentino Rossi untuk dua minggu berikutnya bagi saingan Aragon GP dan Teruel GP.
Hal ini kerana Rossi tidak begitu menggemari litar sejauh 5.078 kilometer ini dimana ianya sering memberikan kesukaran kepadanya sepanjang berkecimpung dalam dunia perlumbaan MotoGP.
Rekod terbaik Rossi dalam perlumbaan yang berlangsung di litar ini hanyalah di kedudukan ketiga pada tahun 2013, 2015 dan 2016.
“Selepas perlumbaan di Le Mans, pasukan kami bergerak ke Motorland Aragon, di mana kami akan terlibat dalam dua perlumbaan berturut-turut.
“Itu sentiasa menjadi tempat yang sukar buat saya, jadi ia akan menjadi cabaran untuk tampil lebih kuat di sana,”
Bagaimanapun, pelumba berusia 41 tahun ini tetap mengharapkan keputusan yang terbaik setelah gagal menamatkan tiga perlumbaan sebelum ini.
“Saya agak laju pada tahun ini dan saya juga mempunyai keyakinan yang baik dengan jentera, kami akan bekerja keras dan mencari jalan untuk memperbaiki prestasi di Aragon.” katanya seperti dipetik daripada Speedweek.
Sementara itu, pengurus pasukan Yamaha, Massimo Meregalli turut senada dengan Rossi dimana Litar Aragon sentiasa memberi kesukaran kepada pasukan mereka.
Bagaimanapun beliau berkata pasukannya akan bekerja keras untuk memastikan kedua-dua pelumba Yamaha dapat menduduki tempat terbaik dalam kedua-dua perlumbaan Aragon GP dan Teruel GP kelak.
Featured Image: Monster Energy Yamaha