Analisis Sukanz: 4 Pasukan Liga Super Yang Boleh Disertai Shahrel Fikri Musim 2021
October 15, 2020 Hafizuddin Omar

Penyerang Perak, Shahrel Fikri Md. Fauzi menempatkan dirinya selaku penjaring kedua terbanyak CIMB Liga Super 2020 dengan pungutan 10 gol daripada 11 perlawanan. Dia hanya kekurangan dua gol untuk menyamai penjaring terbanyak, Ifedayo Olusegun dengan rekod 12 gol.

Hasil daripada rekod yang memberangsangkan tersebut, dikhabarkan beberapa pasukan Liga Super telah membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat Shahrel Fikri. Tambahan pula, kontraknya bersama Perak akan tamat pada penghujung musim ini.

Berdasarkan pengamatan dan pemerhatian kami, berikut adalah empat pasukan Liga Super yang sesuai disertai dan posisi yang dapat diisi oleh Shahrel Fikri pada musim hadapan:

#1 Terengganu FC – Penyerang Utama, Penyerang Kedua & Penyerang Kanan

Foto: Terengganu FC

Dalam skuad kendalian Nafuzi, penyerang utama diisi oleh Dominique da Sylva namun apabila pemain ini ditimpa kecederaan, Terengganu FC menghadapi sedikit kesulitan.

Darren Lok yang diikat oleh Terengganu FC pada awal musim lalu kurang menjadi pilihan Nafuzi malahan pemain Terengganu FC II, Bruno Suzuki lebih menjadi pilihan apabila Dominique tidak dapat bermain.

Selain itu, skuad Terengganu FC pada ketika ini juga tidak mempunyai pure player yang boleh beraksi sebagai second striker atau backup striker – salah satu posisi yang biasa dimainkan oleh Shahrel Fikri – sekiranya Nafuzi mahukan lebih variasi kepada taktikalnya.

Tambahan pula, bahagian sayap kanan atau penyerang kanan Terengganu FC juga tidak mempunyai pemain tetap dan Nafuzi kerap menggilirkan Rahmat Makasuf, Lee Tuck dan Faiz Nasir.

Sekiranya Shahrel Fikri berhijrah ke Terengganu FC, dia mempunyai peluang untuk menembusi kesebelasan utama sebagai penyerang utama (sekiranya Dominique cedera), penyerang kedua dan penyerang kanan dalam sistem Nafuzi Zain.

#2 Kedah – Penyerang Kanan Dan Peluang Beraksi di Piala AFC

Foto: FA Kedah

Walaupun mempunyai banyak isu di luar padang seperti masalah tunggakan gaji, bertukar pengurusan di pertengahan musim dan sebagainya, Kedah kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya menamatkan saingan Liga Super 2020 sebagai naib juara sekaligus menempah tiket ke Piala AFC 2021.

Kehadiran Shahrel Fikri boleh menguatkan bahagian serangan Kedah dengan bergandingan bersama Kpah Sherman dan Tchetche Kipre terutamanya di bahagian sayap kanan menggantikan Zaquan Adha dan Azamuddin Akil yang semakin dimamah usia. 

Selain itu, Kedah juga boleh menjadi destinasi buat Shahrel Fikri untuk mendapatkan pengalaman bermain di pentas antarabangsa. Bagi Kedah pula, untuk beraksi di peringkat antarabangsa seperti Piala AFC, sudah pasti mereka perlu mempunyai depth squad yang baik agar dapat menggilirkan pemainnya untuk mengharungi empat saingan dalam semusim.

#3 Selangor – Peluang Membentuk Gandingan Duo Penyerang Terbaik Liga Super 2020

Foto: FA Selangor

Shahrel Fikri menyertai Selangor tampak mengiurkan dimana kita berpeluang melihat gandingan dua penjaring terbanyak liga iaitu Ifedayo (12 gol) dan Shahrel (10 gol). Pastinya gandingan ini mampu merobek banyak pintu gawang pasukan-pasukan Liga Super musim hadapan.

Penyerang berusia 25 tahun ini boleh menjadi pengganti kepada pemain import, Sandro da Silva Mendonca atau Rufino Segovia yang kini masing-masing berusia 37 tahun dan 35 tahun. Ini bermakna Shahrel akan bermain di belakang Ifedayo sebagai penyerang kedua.

Selain itu, Shahrel juga boleh mengisi posisi penyerang kanan yang kerap digilirkan di antara Khyril Muhymeen dan Sean Selvaraj pada musim ini.

#4 Johor Darul Ta’zim – Pengganti Safawi & Pentas Liga Juara-Juara AFC

Foto: Johor Southern Tigers

Skuad Harimau Selatan tidak asing dalam mendapatkan pemain terbaik tempatan setiap kali tibanya jendela perpindahan pada penghujung tahun. Dengan pemergian Safawi Rasid ke Portimonense SC dan juga ura-ura Diogo Luis Santo kembali ke Liga Thailand, nama Shahrel Fikri pastinya menjadi salah satu pemain sasaran Johor Darul Ta’zim (JDT).

Seperti kita sedia maklum, di posisi penyerang utama, JDT masih mempunyai Syafiq Ahmad, Hazwan Bakri dan juga Fernando Rodriguez (JDT II). Walaupun tampak sukar, masih ada ruang buat Shahrel untuk merebut tempat tersebut.

Selain itu, Shahrel boleh mengisi posisi penyerang sayap kanan yang ditinggalkan oleh Safawi. Ketika ini, Benjamin Mora gemar menggunakan pemain muda, Ramadhan Saifullah namun memandangkan umurnya yang masih muda, Mora dilihat sedikit berhati-hati dalam menggunakan pemain ini.

Oleh demikian, posisi sayap kanan di JDT boleh direbut oleh Shahrel selain daripada posisi penyerang kedua sekiranya Mora inginkan sedikit kelainan dalam percaturannya. Dan yang paling utama, JDT juga inginkan squad depth yang terbaik untuk mengharungi cabaran Liga Juara-Juara AFC buat kali ketiga musim hadapan.

Featured Image: Perak TBG

Komen