Artikel

Sumareh: Kekal Bersama Police Tero FC Lebih 6 Bulan, Mengapa Tidak?

Penyerang naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh tidak menolak kemungkinan untuk kekal bersama Police Tero FC lebih daripada tempoh kontrak asalnya iaitu selama enam bulan.

Dia yang mula mengikuti sesi latihan bersama skuad The Silver Shield Dragons pada minggu ini berkata mahu menumpukan perhatian untuk memberikan aksi yang terbaik buat Police Tero.

Bagaimanapun, penyerang kelahiran Gambia ini mengakui terharu dengan layanan yang diberikan oleh rakan-sepasukannya dan sokongan oleh para penyokong menerusi laman sosialnya.

Perkara itu mungkin boleh menjadi asbab untuknya terus bersama Police Tero pada musim hadapan.

“Saya tidak tahu tetapi sasaran saya untuk ketika ini adalah untuk memberikan yang terbaik untuk pasukan, penyokong dan diri saya sendiri. Kalau semuanya bagus, kenapa tidak (lanjutkan kontrak).”

“Dengan cara semua orang melayani saya di sini, saya sudah rasa seperti berada di rumah (sendiri). Saya sudah jatuh cinta (dengan kelab ini), jadi mengapa tidak? Anda tidak akan tahu.” katanya dalam temubual bersama Everything Thai Football.

Sementara itu, dalam temubual yang sama, Sumareh turut mengakui kehebatan majoriti pemain Thailand terutamanya yang turun menentang pasukan Malaysia dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tahun lalu.

Paling mencuri tumpuannya adalah pemain yang beraksi bersama Hokkaido Consadole Sapporo dalam saingan Liga Jepun iaitu Chanatip Songkrasin atau lebih dikenali sebagai Messi Jay dalam kalangan peminat bola sepak Thailand.

Seorang lagi yang dikagumi oleh Sumareh adalah bintang muda Buriram United yang berusia 22 tahun, Supachok Sarachat.

“Semuanya pantas, licik dan mempunyai kawalan bola yang bagus, tetapi pemain yang bermain di Jepun (Chanatip Songkrasin) sangat bagus, dan juga pemain yang menjaringkan gol (ketika menentang Malaysia) juga bagus. Kombinasi kedua-dua pemain ini sangat hebat.” katanya lagi.

Untuk makluman, Sumareh berkemungkinan membuat penampilan pertamanya bersama Police Tero pada hujung minggu ini dalam aksi kesembilan Liga Thailand menentang PT Prachuap FC. Aksi tersebut dijadualkan berlangsung pada 7 malam waktu Malaysia.

Featured Image: Police Tero FC

komen