Artikel

Dua Pasukan Sedang Berbincang Dengan Hafizh Syahrin

Pelumba Moto2, Hafizh Syharin mendedahkan dua buah pasukan sedang berbincang untuk mendapatkan khidmatnya bagi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia musim hadapan.

Bagaimanapun, pelumba berusia 26 tahun itu tidak meletakkan harapan yang tinggi dan akur sekiranya kehilangan tempat dalam perlumbaan berprestij tersebut.

Namun tumpuan utama buat pelumba kelahiran Ampang ini adalah menamatkan baki lima perlumbaan terakhir pada musim ini di kedudukan yang terbaik.

“Terima kasih kepada semua yang sokong. Saya akan berikan yang terbaik semana mampu yang boleh. (Karier masa depan) dalam perbincangan lagi.”

“Untuk karier tahun depan, saya masih berbincang dengan dua pasukan. Jadi sekarang tak ada letak harapan apa-apa, hanya memberi yang terbaik untuk pasukan sekarang. 

“Kalau ada rezeki, saya sambung, kalau tak ada rezeki, InsyaAllah ada rezeki di tempat lain.” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Kedudukan Hafizh dalam saingan Moto2 mengundang pertanyaan peminat apabila pasukannya, Aspar Team mengumumkan mengikat pelumba Moto3, Albert Arenas untuk saingan pada musim hadapan.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Aspar Team, Aron Canet kekal bersama pasukan sekaligus melengkapkan dua pelumba mereka untuk saingan tahun 2021.

Featured Image: Aspar Team

komen