Pipi penjaga gol VAFC, Jerome Prior Digigit Pemain Lawan
October 19, 2020 Hafizuddin Omar

Penjaga gol Valenciennes Football Club (VAFC), Jerome Prior mendakwa pipinya digigit oleh pemain lawan semasa aksi bertemu FC Sochaux dalam saingan Ligue 2, sabtu lalu.

Menurut penjaga gol berusia 25 tahun itu, gigitan tersebut dibuat oleh pemain tengah FC Sochaux iaitu Ousseynou Thioune.

Bagaimanapun pemain tengah Senegal ini menafikan dia melakukan gigitan terhadap pipi Jerome. Akan tetapi dia mengakui geram dengan tindakan penjaga gol tersebut yang melakukan ejekan berunsurkan perkauman terhadapnya secara beberapa kali.

“Memang benar saya hantukkan kepala ke pipinya dan ya, saya sangat marah (terhadapnya), saya mahu menanduk kepala saya kepadanya,”

“Tetapi selepas saya memikirkannya, saya tarik balik (kemahuan tersebut). Tiada gigitan langsung,” katanya dalam laporan Fox Sports yang memetik akhbar L’Est Republicain.

Sementara itu Presiden VAFC, Eddy Zdziech memberitahu AFP bahawa tiada sebarang keraguan lagi pemain tengah Senegal itu melakukan gigitan terhadap pemainnya.

“Ia sesuatu perkara yang sangat disesalkan. Kita tidak boleh menafikannya. Saya sudah bercakap dengan Jerome dan memang jelas kesan gigitan besar di pipinya. Nampak (luka) berdarah.” katanya.

Featured Image: FutbolHoy & FC Sochaux-Montbeliard

Komen