Pertahanan Flamengo, Gustavo Henrique dilaporkan mengalami ‘kecederaan parah’ pada bahagian celah kelangkangnya ketika menentang Corinthians dalam saingan Serie A Brazil, semalam.
Difahamkan pertahanan berusia 27 tahun menerima kecederaan tersebut pada separuh masa pertama. Ia berpunca daripada tindakan pemain Corinthians yang terpijak bahagian kemaluan Gustavo secara tidak sengaja.
Sejurus kejadian tersebut, sekitar minit ke-39, dia meluru keluar daripada padang menuju ke bilik persalinan dengan seluar yang dilumuri darah. Di bilik persalinan, pihak perubatan memeriksa dengan rapi kecederaan yang dialami oleh Gustavo.
Bagaimanapun, menerusi satu makluman oleh Gustavo di laman twitternya, dia telah pulih daripada kecederaan tersebut dan bakal kembali berlatih bersama pasukan dalam masa terdekat.
“Terima kasih kepada semua yang menghantar mesej sokongan (kepada saya) dan saya sudah pulih dan akan kembali membantu pasukan. Terima kasih semua!” katanya.
Untuk makluman, perlawanan di antara Corinthians dan Flamengo berkesudahan dengan keputusan 1-5 berpihak kepada pasukan pelawat. Kemenangan itu melonjak kedudukan Flamengo di tempat kedua dengan 34 kutipan mata.