Artikel

Kenali Bakal Penyerang JDT, Camilo da Silva ‘Sang Serigala’ Brazil

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah mengesahkan penyerangnya, Diogo Luis Santo akan meninggalkan skuad Harimau Selatan musim ini.

Bagaimanapun, dengan pantas, baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengumumkan telah mendapatkan pengganti Diogo untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2021.

Penyerang tersebut ialah Camilo da Silva Sanvezzo kelahiran Brazil yang berumur 32 tahun. Kini sedang beraksi dalam saingan Liga Mexico bersama pasukan Mazatlan FC sejak ogos lalu.

“Saya telah tengok pemain tersebut begitu lama, tetapi dua tahun lepas saya tidak boleh dapatkan beliau kerana agak mahal, diluar kemampuan kewangan kita. Dia akan datang ke (JDT) untuk menggantikan Diogo.” titah baginda dalam satu sidang media di Ibu Pejabat JDT, hari ini.

Penyerang Kaya Pengalaman – Beraksi di Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah dan Asia

Foto: Major League Soccer (MLS)

Camilo merupakan seorang penyerang tengah yang mempunyai ketinggian 1.7 meter. Memulakan kerjaya bola sepaknya bersama Corinthians Alagoano sebelum terbang ke eropah untuk bermain dalam saingan Liga Malta bersama Qormi FC.

Selepas daripada itu, Camilo berhijrah ke benua asia dan menandatangani kontrak bersama Gyeongnam FC yang beraksi dalam saingan Liga Korea. Difahamkan penyerang ini bergelut dan sukar menyesuaikan diri bersama Gyeongnam FC.

Kerjaya bola sepak Camilo sebagai penyerang mula memuncak ketika bermain bersama Vancouver Whitecaps FC dalam saingan Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat. Bersama pasukan berpangkalan di British Columbia, Kanada ini, Camilo muncul sebagai penyerang prolifik dengan menjaringkan 43 gol daripada 102 penampilan daripada tahun 2011-2013.

Kehabatannya merobek gawang lawan telah menarik pasukan Liga Mexico, Queretaro FC untuk mendapatkan khidmatnya. Kehebatannya semakin terserlah dengan mencatatkan rekod 67 gol daripada 145 penampilan. Camilo beraksi selama lima tahun bersama Queretaro FC dari tahun 2014-2019.

Musim 2019/20 menyaksikan Camilo membuka lembaran baharu bersama Tijuana FC – sebuah kelab yang turut beraksi dalam saingan Liga Mexico. Bagaimanapun jodohnya bersama Tijuana hanya bertahan semusim dan bulan ogos lalu, dia diperkenalkan sebagai pemain baharu Mazatlan FC.

Lincah, Laju & Tajam Di Hadapan Gol (Bonus: Sepakan Percuma)

Foto: Liga BBVA MX

Apa yang boleh diperkatakan mengenai gaya permainan penyerang yang mendapat julukan sebagai ‘The Wolf’ atau Sang Serigala ini?

Berdasarkan kepada beberapa rangkuman aksinya di platform perkongsian video atas talian, Youtube, Camilo dilihat merupakan seorang penyerang yang lincah dan berani menggelecek barisan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan.

Dia juga seorang penyerang yang gemar duduk selari dengan barisan pertahanan lawan dan menunggu suapan bola daripada rakan sepasukan sebelum melakukan larian terus ke hadapan gol. Hati-hati, kedua-dua kakinya berbisa.

Selain itu, Camilo juga boleh berfungsi sebagai penyerang jenis poacher yang menunggu di dalam kotak penalti. Ini kerana Camilo mempunyai kebolehan menanduk yang baik.

Sebagai tambahan, Camilo turut dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan percuma. Kaki kanannya persis kepada bekas kapten JDT suatu masa dahulu, Safiq Rahim apabila mengambil sepakan percuma.

Pengganti Yang Tepat Buat Diogo Luis Santo?

Foto: Club Tijuana / XOLOS

Pertama sekali, berdasarkan kepada gaya dan corak permainan individu, Camilo merupakan seorang penyerang yang berbeza jika dibandingkan dengan Diogo Luis Santo. Masih terlalu awal untuk menghakiminya. 

Penyerang ini mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan liga yang lebih kompetitif daripada Liga Malaysia dan juga Liga Juara-Juara AFC. Rekodnya bersama Vancouver Whitecaps dan Queretaro FC juga tidak boleh dipandang enteng.

Apa yang penting, gaya permainan individunya bakal memberikan kelebihan buat ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora untuk variasikan lagi taktikal dan strateginya ketika bertemu mana-mana pasukan.

Apa-apa pun, selamat datang buat Camilo da Silva Sanvezzo ke saingan Liga Malaysia dan semoga berjaya bersama JDT.

Featured Image: Club Tijuan / XOLOS

komen