Rakyat United Sukar Bersaing Guna Pemain ‘Amatur’ – Coach Satia
October 22, 2020 Hafizuddin Omar

Bekas pengendali Selangor, B. Satiananthan merasakan Rakyat United FC bakal menghadapi kesukaran untuk bersaing dalam kancah Liga Malaysia dengan sekadar mempertaruhkan pemain amatur.

Terdahulu, Rakyat United yang dikatakan akan menggantikan Felda United FC dalam saingan Liga Malaysia mengumumkan mahu merekrut pemain untuk beraksi dalam saingan Liga Super atau Liga Premier 2021.

Mereka dengan beraninya mahu membina skuad utama dengan adunan dua pemain remaja, dua pemain berusia 30 tahun ke atas, dua pemain berusia 50 tahun ke atas dan enam pemain berusia antara 18 hingga 29 tahun.

Selain itu, mereka turut mahukan dua orang pemain kaum cina, dua pemain kaum india, dua orang pemain berketurunan orang asli serta masing-masing dua pemain bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

“Saya tidak nampak keupayaan pasukan tersebut jika mereka memberi peluang kepada pemain yang tidak pernah bermain dalam kancah profesional. Kalau mereka tetap bersaing menggunakan pemain amatur, itu malapetaka bagi mereka.

“Apabila dapat pemain yang dibayar gaji dengan murah dan mungkin tak ada pengalaman, mereka akan gagal bersaing sehingga berada dalam kelompok pasukan tercorot.” ujarnya seperti dipetik daripada Sinar Harian.

Satiananthan yang mesra dengan panggilan Coach Satia melihat ianya sebagai satu perancangan yang kurang rapi oleh Rakyat United. Pihak pengurusan kelab seharusnya mendapatkan pandangan daripada individu yang berpengalaman dalam kancah bola sepak tempatan.

“Sudah semestinya mereka tidak mahu perkara itu berlaku dalam tahun pertama pada saingan Liga-M. Malah, mana ada pengurusan yang mahukan pasukan mereka tercorot dan asyik kalah.

“Semua ini kena buat perancangan yang lebih rapi. Jangan main cakap saja dan mereka perlu tanya orang yang dah lama terlibat dalam bola sepak untuk mendapatkan pandangan,” katanya lagi.

Setakat ini, belum ada sebarang kata putus daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku pemberi lesen kebangsaan dan pengendali liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) samada Rakyat United disahkan bersaing dalam kancah Liga Super atau Liga Premier 2021.

Komen