Menjelang pertarungan UFC 254 di antara Khabib Nurmagomedov dan Justin Gaethje pada hujung minggu ini, kisah kedua-dua atlet seni bela diri ini kembali tumpuan ramai.
Khabib yang merupakan pemegang rekod tanpa kalah dalam pertempuran kategori lightweight terkenal dengan kisah permulaan kepada sukan gusti di zaman kanak-kanaknya.
Pernah tular di dunia internet beberapa ketika dahulu bagaimana dia ketika berusia 9 tahun bergomol dengan beruang tanpa rasa takut.
Sejak kecil lagi, Khabib menuntut ilmu dan berlatih seni bela diri dengan ayahnya, Abdulmanap Nurmanogedov – seorang pelatih terkenal di Dagestan.
Kisah mengenai lawan kepada Khabib pada awal pagi ahad (waktu Malaysia) kelak iaitu Justin Gaethje juga tidak kurang hebatnya.
Dipetik daripada ESPN, ibunya, Carolina Gaethje menceritakan Justin pernah dikejar dan digigit anjing ketika berumur dua tahun.
Berang dengan perlakuan anjing tersebut, Justin tanpa takut kembali mengejar anjing tersebut dan menggigitnya kembali.
Sejak kecil lagi, Justin dilihat sebagai seorang yang dahagakan persaingan. Hal itu yang mendorongnya untuk berkecimpung dalam gusti dan pertarungan bermula di bangku persekolahan.
Untuk rekod, Justin merupakan juara interim bagi kategori lightweight dalam saingan UFC pada ketika ini.