Luqman Bangga ‘Berlaga Bahu’ Dengan Bekas Kapten Man City, Vincent Kompany
October 26, 2020 Hafizuddin Omar

Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak dapat menyembunyikan perasaan bangganya apabila dapat bertemu dengan bekas kapten Manchester City, Vincent Kompany tempoh hari.

Malah penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini sempat bersalaman dengan Kompany yang merupakan ketua jurulatih RSC Anderlecht – pasukan yang ditentang oleh Luqman pada sabtu lalu.

“Perasaan teruja sangat. Kita sebagai pemain kalau bertemu pasukan yang bagus memang seronok.

“Saya teruja dapat bertemu Vincent Kompany. Dia bintang pertahanan Manchester City yang terkenal.

“Saya bangga dapat bersalaman dengannya,” katanya seperti dipetik daripada Utusan Malaysia.

Dalam perlawanan tersebut, Luqman berjaya membuat penampilan pertama bersama pasukannya, KV Kortrijk apabila dimasukkan oleh ketua jurulatihnya pada minit ke-74 menggantikan Petar Golubovic.

Mengulas mengenai penampilan pertamanya, Luqman akui menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan saingan Liga Belgium.

Dapat dilihat di dalam perlawanan tersebut, Luqman bergelut terutamanya dalam aspek melakukan hantaran. Bagaimanapun, disebalik kesukaran tersebut, penyerang berusia 18 tahun ini berjaya terlibat dalam satu gerakan yang memberikan pasukannya satu gol saguhati.

“Mulanya agak sukar (bermain di Belgium) kerana susah nak berkomunikasi tetapi pemain-pemain senior dan jurulatih banyak membantu serta berkongsi ilmu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kompany dilantik sebagai ketua jurulatih RSC Anderlecht pada ogos lalu dengan kontrak selama empat tahun menggantikan Franky Vercauteren.

Featured Image: KV Kortrijk & Sport.be

Komen