Kelibat pelumba negara, Hafizh Syahrin dalam saingan Kejohanan Dunia Moto2 bagi musim 2021 masih kekal.
Hal ini kerana sebuah pasukan Moto2 berpangkalan di eropah dilaporkan telah mendapatkan khidmat Hafizh bagi mengharungi saingan musim hadapan.
Bagaimanapun, pengumuman rasmi berkenaan pasukan manakah yang akan disertai oleh Hafizh akan dibuat pada bulan hadapan semasa perlumbaan Moto2 di Litar Valencia kelak.
“Perbincangan dengan pasukan buat Hafizh untuk musim 2021 sudah selesai dan Hafizh akan kekal di Kejohanan Dunia Moto2. Pasukan untuk musim 2021 akan berpangkalan di Eropah.
“Insya-Allah, pengumuman akan dibuat dalam sedikit masa lagi. Jika perancangan semua berjalan lancar di pihak pasukan, Insya-Allah (pengumuman) semasa perlumbaan di Valencia,” kata pengurus kepada Hafizh, Razmin Masli Abdul Razak dipetik daripada Harian Metro.
Hafizh yang beraksi bersama Aspar Team pada musim ini tidak dilanjutkan kontraknya untuk saingan musim hadapan.
Ini memaksa pelumba kelahiran Selangor itu terpaksa mencari pasukan baharu bagi meneruskan kariernya dalam sukan permotoran antarabangsa.
Untuk rekod, setakat 12 siri perlumbaan yang telah berlangsung, Hafizh kini menghuni kedudukan ke-20 dunia dengan kutipan 21 mata.
Featured Image: Aspar Team
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!