Berang dengan aksi longlai yang ditunjukkan oleh para pemain, pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho bertindak mengeluarkan empat orang pemainnya secara sekaligus ketika bertemu Antwerp, dalam saingan Liga Europa.
Antara yang dikeluarkan ialah Giovani Lo Celso, Dele Alli, Steven Bergwijn dan Vinicius digantikan dengan P. Hoejbjerg, Erik Lamela, Lucas Moura dan Son Heung-min. Kemudiannya, Mourinho mengeluarkan pula Gareth Bale dan memasukkan penyerang handalannya, Harry Kane pada minit ke-56 permainan.
Bagaimanapun, aksi longlai Spurs bukan disebabkan oleh lima orang pemain ini sahaja tetapi melibatkan satu pasukan. Sebolehnya pengurus Portugal itu mahu mengeluarkan kesemua pemainnya pada rehat separuh masa.
“Saya mahu lakukan sebelas (pertukaran), saya tidak buat lima pertukaran kerana bimbang 45 minit seterusnya terlalu lama tanpa sebarang pertukaran.” katanya selepas daripada perlawanan awal pagi tadi.
Aksi longlai anak-anak buah Mourinho membolehkan pasukan tuan rumah mendahului seawal minit ke-29 menerusi Lior Refaelov. Jaringan tunggal itu sudah memadai untuk memastikan Antwerp mengutip tiga mata.
“Hanya seorang sahaja yang perlu dipersalahkan, saya yang turunkan pasukan ini, saya yang memilih pemain untuk bermula (dalam kesebelasan utama),
“Pada ketika itu (rehat separuh masa pertama), saya cuba memperbaiki situasi tetapi ianya tidak mencukupi kerana dinamik pada separuh masa pertama masih ada,
“Mentaliti babak pertama masih di situ, sukar untuk mengubahnya kerana (corak) Antwerp juga berubah,”
“Pada akhirnya, Antwerp mendapat apa yang selayaknya mereka dapat, dan kami juga dapat apa yang selayaknya kami dapat. Pasukan yang terbaik menang dan pasukan yang beraksi teruk mendapat kekalahan.” katanya lagi.
Featured Image: Tottenham Hotspur