Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin terpaksa berehat panjang selepas daripada melakukan debut skuad senior ketika menentang RSC Anderlecht, baru-baru ini.
Hal ini kerana Luqman disahkan oleh doktor perubatan KV Kortrijk mengalami kecederaan melibatkan hamstring di mana ototnya koyak dengan ukuran sepanjang 2 sentimeter (cm).
“Ketika melakukan sesi latihan menyepak bola tiba-tiba saya rasa sakit di paha sebelah kanan.
“Bila doktor periksa terdapat koyakan otot di paha kira-kira 2cm.
“Doktor nasihatkan saya untuk berehat dulu dalam masa tiga minggu untuk fokus kepada proses pemulihan.
“Saya mula rasa sakit selepas perlawanan menentang RSC Anderlecht minggu lalu, cuma ketika itu saya ingat cedera biasa.
“Saya berharap sesi pemulihan akan berjalan lancar dan dapat segera sembuh untuk kembali bersama rakan pasukan,” katanya seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia.
Perkembangan ini bakal menyaksikan Luqman yang juga penyerang skuad Harimau Muda terlepas sekurang-kurangnya tiga aksi seterusnya saingan Liga Belgium.
Pertamanya menentang Zulte Waregem (awal pagi esok), keduanya menentang Beerschot (sabtu) dan Club Brugge yang dijaduakan pada 22 November.
Featured Image: KV Kortrijk