5 Perkara Menarik Mengenai Pasukan Yang Mengalahkan Man Utd, Istanbul Basaksehir
November 5, 2020 Hafizuddin Omar

Wakil Turki, Istanbul Basaksehir membuat kejutan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dengan menumpaskan Manchester United dengan keputusan 2-1 di laman sendiri pada awal pagi tadi.

Lebih menarik, salah satu gol yang dijaringkan oleh Istanbul Basaksehir dilakukan oleh bekas penyerang prolifik Liga Perdana Ingeris (EPL) iaitu Demba Ba. Satu lagi gol dijaringkan oleh Edin Visca. Manakala gol saguhati Manchester United pula dijaringkan oleh Anthony Martial.

Memandangkan kelab ini tidak begitu dikenali dalam kalangan peminat bola sepak, kami bawakan 5 perkara menarik mengenai pasukan ini kepada anda:

#1 Kelab Baharu Yang Hanya Berusia 20 Tahun

Berbanding kelab-kelab bola sepak tersohor dari Turki seperti Galatasaray, Fenerbahce dan Besiktas yang mempunyai sejarah penubuhan lebih 100 tahun, Istanbul Basaksehir pula merupakan sebuah kelab baharu yang ditubuhkan pada tahun 1990.

Sementara itu, kali pertama mereka menyertai saingan liga utama iaitu Super Lig adalah pada tahun 2006 sebelum tersingkir pada musim seterusnya. Bagaimanapun, pada musim 2014 mereka sekali lagi kembali ke saingan Super Lig dan kekal berada di ‘top flight’ sehingga kini.

#2 Mempunyai ‘Kabel’ Kuat Dengan Presiden Turki

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdorgan bersama presiden kelab, Goksel Gumusdag.

Istanbul Basaksehir dikatakan mempunyai pertalian yang kuat dengan presiden republik tersebut iaitu Recep Tayyip Erdorgan dan beliau pernah bermain pada perlawanan pembukaan stadium baharu, Stadium Fetih Terim pada tahun 2014. Sejurus perlawanan tersebut, jersi No.12 yang dipakai oleh Erdorgan ‘dipencenkan’.

Selain itu, presiden kelab, Goksel Gumusdag turut mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Erdorgan menerusi perkahwinan. Lebih menarik penajaan kelab ini juga mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan Turki termasuk gelanggang utamanya dimiliki oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Turki.

#3 Kelab Pertama Memecah Dominasi Galatasaray – Fenerbahce – Besiktas Sejak 25 Tahun

Kejuaraan Super Lig 2019/20

Bercakap mengenai bola sepak Turki atau secara khususnya saingan Super Lig, kita tidak akan boleh lari daripada dominasi tiga buah pasukan berpangkalan di Istanbul  iaitu Galatasaray, Fenerbahce dan Besiktas. Sejak 25 tahun lalu, juara Super Lig hanya berkisar kepada tiga buah pasukan ini.

Bagaimanapun, sejak Istanbul Basaksehir kembali ke saingan Super Lig buat kali kedua pada musim 2014/15 mereka perlahan-lahan menjadi ancaman kepada dominasi ketiga-tiga pasukan tersebut. Dan msuim 2019/20 menjadi musim gemilang Istanbul Besaksehir apabila muncul juara Super Lig buat pertama kali dalam sejarah penubuhan mereka dan sekaligus memecahkan dominasi tiga kelab di atas.

#4 Memancing Khidmat Bintang Veteran EPL & Antarabangsa

Robinho ketika bermain bersama Istanbul Baseksehir sekitar 2019

Dalam usahanya untuk tampil sebagai sebuah kelab yang gah dalam saingan bola sepak Turki, Istanbul Basaksehir turut mendapatkan khidmat pemain-pemain ternama bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) dan antarabangsa yang berada di penghujung karier.

Jangan terkejut kelab ini pernah mendapatkan khidmat bekas pertahanan Man City Gael Clichy, bekas penyerang Arsenal dan Man City Emmanuel Adebayor, bekas penyerang Brazil Robinho, bekas pemain tengah Napoli dan Leicester City Gokhan Inler dan beberapa nama lagi. 

Musim ini, Istanbul Basaksehir turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas penyerang Chelsea Demba Ba, bekas pertahanan Manchester United Rafael da Silva, bekas pertahanan Liverpool Martin Skrtel dan bekas pemain tengah Spurs Nacer Chadli.

#5 Penglibatan Sulung & Kemenangan Sulung Di Pentas UCL

Musim ini menjadi musim sulung Istanbul Basaksehir membuat kemunculan di peringkat kumpulan saingan UCL menerusi tiket juara Super Lig 2019/20. Kemenangan ke atas Manchester United pada awal pagi tadi merupakan kemenangan pertama di pentas UCL dalam sejarah penubuhan kelab mereka.

Pada musim 2019/20, mereka hampir berjaya untuk mara ke peringkat kumpulan saingan UCL buat pertama kali namun digagalkan oleh wakil Greece iaitu Olympiakos dalam aksi play-off. Ini menyebabkan mereka terpaksa ke saingan Liga Europa.

Bagaimanapun mereka amat cemerlang dalam saingan sulung tersebut di mana Istanbul Basaksehir menamatkan cabaran peringkat kumpulan yang terdiri daripada Borussia Monchengladbach, AS Roma dan Wolfsberger sebagai juara. Di pusingan ke-32 mereka berjaya menewaskan Sporting CP namun perjalanan mereka dinoktahkan di pusingan ke-16 apabila terpaksa akur tewas kepada wakil Denmark, FC Copenhagen.

Komen