Terengganu Football Club (TFC) menerima kunjungan Petaling Jaya City Football Club (PJ City) untuk pusingan ke-16 saingan Piala Malaysia 2020.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) itu berpihak kepada pasukan tuan rumah 1-0 hasil jaringan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-36 sekaligus menempah tiket ke peringkat suku akhir.
Berikut adalah empat perkara yang kami dapati daripada perlawanan ini:
#1 Lee Tuck Cemerlang Sebagai Arkitek TFC
Persembahan kapten pasukan, Lee Tuck amat cemerlang dalam perlawanan ini terutamanya pada separuh masa pertama. Selaku pemain tengah (centre midfielder), dia memastikan bola dapat dialirkan kepada Faiz Nasir/Azam Azmi di bahagian kanan atau kepada Faris Ramli/Sanjar Shaakhmedov di bahagian kiri. Seperti biasa, work rate dan kerajinan yang tinggi memenangi/merampas bola daripada pihak lawan membantu mengurangkan ancaman kepada barisan pertahanan TFC.
#2 PJ City Bermain Dengan High Pressing Pada 45 Minit Pertama
PJ City FC turun menentang TFC dengan formasi 3-4-3 dalam perlawanan ini. Dan mereka memainkan corak permainan high pressing terutamanya sepanjang separuh masa pertama dan hasilnya mereka berjaya menyukarkan TFC untuk menguasai bola. Malah pasukan tuan rumah hanya beroleh gol menerusi kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan, Kim Bong Jin. Separuh masa kedua, PJ City dilihat mengurangkan sedikit pendekatan high pressing mereka dan bermain dengan intensiti tinggi ke arah gawang TFC.
#3 Dominique da Sylva & Washington Brandao Kurang Menjadi
Penyerang utama TFC, Dominique da Sylva kurang menyerlah dalam perlawanan ini. Bukan sahaja tidak menjaringkan sebarang gol tetapi beberapa gerakannya berjaya dihalang oleh pemain-pemain PJ City.
Perkara yang sama turut terjadi kepada penyerang PJ City, Washington Brandao. Walaupun terdapat satu atau dua gerakan bahaya memasuki kotak penalti TFC, tiada sebarang jaringan dapat dijelmakan olehnya dalam perlawanan ini.
#4 Argzim & Rahadiazli Hebat di Barisan Pertahanan
Pertahanan, Argzim Redzovic cemerlang memimpin barisan pertahanan TFC. Beberapa bola perebutan di udara dimenanginya. Tidak dilupakan, Argzim turut dilihat naik ke atas untuk membantu serangan. Sementara itu, penjaga gol muda, Rahadiazli pula menjadi hero buat pasukan TFC dengan menyelamatkan beberapa percubaan tepat ke arah gawangnya dan memastikan clean sheet.
Featured Image: MFL