Piala Malaysia: Selangor Garang Dibimbing Orang Jerman, Melaka Tumpul Di Gelanggang Sendiri
November 8, 2020 Hafizuddin Omar

Pusingan ke-16 saingan Piala Malaysia 2020 akan diteruskan pada malam ini dengan pertembungan di antara Selangor menentang Melaka di Stadium Hang Jebat.

Bagaimanapun, ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diimplemenkan oleh pihak kerajaan di seluruh negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, skuad Red Giants perlu menggunakan stadium di luar kawasan tersebut sebagai home mereka.

Untuk memeriahkan lagi pertemuan di antara kedua-dua pasukan Liga Super ini, kami sajikan kepada anda 10 fakta menarik mengenai Selangor dan Melaka menjelang sepak mula yang dijadualkan jam 9 malam ini:

#1 Tiga Kali Selangor & Melaka Sama Kuat

Foto: Melaka United Soccer Association

Tiga daripada lima pertembungan di antara Selangor dan Melaka sebelum ini berkesudahan dengan keputusan seri termasuk pertemuan terakhir mereka dalam saingan Liga Super 2020.

#2 Selangor Lebih Berpengalaman Menewaskan Melaka

Sejak Melaka kembali ke saingan Liga Super, skuad Hang Tuah hanya memperoleh dua kemenangan ke atas Selangor dalam semua pertandingan manakala Red Giants mencatatkan tiga kemenangan. 

#3 Melaka Sedang Mencari Kemenangan

Foto: Melaka United Soccer Association

Ketika ini pasukan Melaka ketandusan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka. Dan Melaka tidak pernah merekodkan enam perlawanan tanpa kemenangan sejak Mei 2018.

#4 Selangor Garang Di Bawah Kendalian ‘Orang Jerman’ 

Sejak Selangor melantik Michael Feichtenbeiner sebagai pengendali sementara mereka, Selangor tampil garang dengan menjaringkan sekurang-kurangnya 3 gol dalam kesemua 3 perlawanan yang dibimbingnya.

#5 Adakah ‘Nasib Malang’ Mengiringi Selangor Malam Ini?

Foto: Selangor FC

Pada ketika ini Selangor telah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut. Mereka tidak pernah memenangi tiga perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan sejak April 2019.

#6 Melaka Perlu ‘Kunci’ Kelibat Penyerang Nigeria

Hampir 50% jaringan Selangor dalam tiga perlawanan terakhir mereka dihasilkan oleh Ifedayo Olusegun iaitu 7 daripada 15 gol.

#7 Melaka Lebih Tajam Di Tempat Orang, Tumpul Di Gelanggang Sendiri

Penyerang utama skuad Hang Tuah, Uche Agba – Foto: Melaka United Soccer Association

Menariknya, 61% jaringan gol Melaka pada musim ini dijaringkan di tempat lawan iaitu 8 daripada 13 gol. Malam ini, walaupun beraksi di gelanggang sendiri tetapi di atas kertas Selangor menjadi tuan rumah. Apakah yang bakal terjadi?

#8 Mara Ke Suku Akhir Bukan Tugas Sukar Buat Selangor

Sejak 14 musim terdahulu, Selangor hanya gagal ke peringkat suku akhir Piala Malaysia sebanyak dua kali dan yang terbaharu pada musim 2018.

#9 Rekod Melaka Pula Agak ‘Menyedihkan’

Foto: Selangor FC

Melaka berjaya mara ke peringkat suku akhir sebanyak 3 kali daripada 5 penampilan terakhir mereka dalam kempen Piala Malaysia. 

#10 Hati-hati Selangor! Musim Ini Piala Malaysia Format Kalah Mati

Dalam tiga kempen terakhir Selangor dalam saingan Piala Malaysia, mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan pada aksi pertama di mana ianya sekadar berakhir dengan dua seri dan satu kekalahan.

Featured Image: Selangor FC

Komen