Rasmi: Pasukan Belanda, NTS RW Racing Tandatangani Khidmat Hafizh Untuk Musim 2021
November 8, 2020 Hafizuddin Omar

Pelumba negara, Hafizh Syahrin disahkan akan memperkuatkan pasukan NTS RW Racing untuk saingan Moto2 bagi musim 2021.

Pengumuman itu dimaklumkan secara rasmi menerusi sosial media pasukan berpangkalan di Belanda itu pada hari ini.

Kemasukan pelumba berusia 26 tahun kelahiran Selangor itu sangat menggembirakan NTS RW Racing memandangkan Hafizh merupakan seorang pelumba yang berpengalaman dalam saingan Moto2 dan saingan kelas premier, MotoGP.

“Kami sangat berbangga dan gembira dapat menandatangani Hafizh (Syahrin), seorang pelumba yang bukan sahaja berpengalaman dan berbakat, tetapi merupakan seorang yang sangat baik (budi pekertinya),”

“(Pasukan) kami semakin kuat dan bertambah baik minggu demi minggu, tetapi kami masih membangunkan jentera kami. Input dan maklum balas daripada penunggang seperti Hafizh sangat penting dalam proses ini.” kata pengurus pasukan, Jarno Janssen. 

Sementara itu Hafizh turut gembira dapat kekal dalam saingan Moto2 musim hadapan dengan menyertai pasukan NTS RW Racing. 

Hafizh mengharapkan kemasukannya ke pasukan ini dapat membantu NTS RW Racing mempertingkatkan lagi jentera yang sedang dibangunkan mereka sekaligus mendapatkan keputusan yang baik dalam setiap siri perlumbaan tahun hadapan. 

Untuk makluman, Hafizh bakal bergandingan bersama seorang pelumba muda berusia 16 tahun kelahiran Belgium iaitu Barry Baltus sebagai taruha  utama pasukan NTS RW Racing.

Featured Image: NTS RW Racing

Komen