Satu rembatan voli oleh Sandro da Silva pada separuh masa kedua sudah memadai untuk memastikan Selangor ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2020.
Gol tersebut hadir pada minit ke-51 hasil lambungan cantik oleh penyerang prolifiknya, Ifedayo Olusegun sekaligus menewaskan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.
Sebelum itu, Ifedayo terlebih dahulu mencatatkan nama selaku penjaring dalam perlawanan apabila berjaya menyudahkan satu hantaran oleh Wan Zack Haikal pada separuh masa pertama.
Pasukan Melaka yang dibimbing oleh Zainal Abidin Hassan turut berhasil mendapatkan gol selang lima minit selepas daripada jaringan yang dilakukan oleh Sandro.
Ianya terhasil menerusi satu voli rendah oleh penyerang utama mereka, Uche Agba setelah menerima hantaran daripada Syamim Yahya pada minit ke-56.
Skuad Hang Tuah cuba untuk mencari gol penyamaan bagi mengheret Selangor ke masa tambahan namun begitu gagal sama sekali hasil disiplin tinggi barisan pertahanan Selangor mempertahankan gawangnya.
Tiada pertambahan jaringan sehingga wisel ditiup oleh pengadil perlawanan dan berakhir dengan keputusan 2-1 berpihak kepada Selangor.
Menanti Selangor di peringkat suku akhir adalah pasukan berpangkalan di uatara semenanjung tanah air dan juga naib juara musim lalu iaitu Kedah.
Featured Image: Melaka United Soccer Association