Selepas pengumuman penangguhan saingan Piala Malaysia 2020 oleh pihak kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), timbul beberapa suara yang mahukan saingan tersebut dibatalkan terus untuk musim ini.
Saranan itu mendapat reaksi yang bercampur baur dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Terdapat yang menyokongnya dan ramai juga yang membantah.
Bagaimanapun, sekiranya saingan Piala Malaysia dibatalkan, skuad berpangkalan di pantai timur, Terengganu Football Club (Terengganu FC) pastinya tersenyum lebar menempah tiket secara automatik ke saingan Piala AFC 2021.
“Jika Piala Malaysia dibatalkan kita pasti slot ke Piala AFC akan diberikan kepada TFC kerana kita berada di kedudukan ketiga Liga Super.” kata pengurus pasukan, Ahamd Shahrizal Yahya seperti dipetik daripada Harian Metro.

Sementara itu, Shahrizal mengharapkan badan pengendali bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) memuktamadkan status saingan Piala Malaysia dengan segera samada mahu meneruskan atau dibatalkan.
“MFL perlu memutuskan secepat mungkin status saingan itu kerana beberapa pasukan termasuk Terengganu FC sudah merancang barisan pemain musim depan selain ia memberi peluang kepada pemain yang digugurkan mencari pasukan baharu.
“Lagipun kontrak hampir kesemua pemain termasuk tonggak import dan tempatan akan tamat pada 30 November ini. Saya tidak lihat Piala Malaysia dapat diadakan pada Disember ini,” katanya lagi.

Menurutnya juga, skuad Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain masih menjalankan sesi latihan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh MKN.
Untuk rekod, Terengganu FC sepatutnya bertemu juara Piala Malaysia 2018, Perak samada pada 12 atau 13 november untuk aksi suku akhir setelah berjaya menumpaskan PJ City FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) pada pusingan ke-16.
Featured Image: MFL