Nampaknya Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berputih mata untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020 apabila pihak kerajaan tidak membenarkannya untuk terbang ke Qatar.
Hal ini kerana menurut makluman Menteri Kanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada ketika ini kerajaan tidak membenarkan sesiapa pun kalangan warganegara untuk keluar daripada negara ini.

“Polisi kita sama, pintu sempadan kita masih ditutup, maknanya warga asing tidak dibenarkan masuk dan rakyat kita juga tidak dibenarkan keluar,
“Polisi ini meliputi semua termasuk pasukan bola iaitu tidak membenarkan pergerakan yang ramai seperti ini ke luar negara, dan kita tidak tahu SOP yang ada di luar negara tersebut,
“Jadi kita tidak benarkan atas alasan ianya adalah tertakhluk kepada polisi sempadan negara ditutup, rakyat negara kita tidak dibenarkan ke luar negara. Semua tidak dibenarkan termasuk menteri-menteri.” katanya dalam sidang media, petang tadi.
Ketika ini skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora menduduki tangga kedua Kumpulan G hasil daripada satu kemenangan dan satu kekalahan.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua JDT bersaing di pentas ACL selepas menyertainya kali pertama pada edisi tahun lalu. Mereka sempat bermain dua perlawanan sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia sekitar awal tahun ini.
Sementara itu, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) kekal dengan keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia 2020 sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Featured Image: Johor Southern Tigers
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!