Penganjur: Atlet Tidak Perlu Kuarantin 14 Hari Untuk Temasya Olimpik 2020
November 12, 2020 Hafizuddin Omar

Para atlet dikecualikan daripada menjalani kuarantin selama 14 hari untuk mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagaimana yang dikenakan oleh Jepun kepada sesiapa yang tiba dari luar negara.

Sebaliknya para atlet perlu menjalani ujian Covid-19, 72 jam sebelum tiba di Jepun namun perincian mengenai perkara tersebut akan diperhalusi lagi oleh pihak penganjur

“Para atlet, jurulatih dan pegawai yang layak ke temasya Sukan Olimpik Tokyo akan dibenarkan untuk memasuki negara (Jepun), dengan langkah-langkah tertentu akan dibuat sebelum mereka sampai ke Jepun.” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tokyo 2020, Toshiro Muto dalam sidang media.

Bagaimanapun keputusan untuk penonton dari luar negara akan dibuat pada tahun hadapan bergantung kepada perkembangan semasa pandemik Covid-19.

“Musim luruh kelak, kami akan keluarkan pelan untuk penonton, termasuk penonton bukan kalangan (rakyat) Jepun,”

“Tidak mungkin untuk menetapkan kuarantin 14 hari kepada penonton dari luar negara, jadi diwajibkan (jalani) ujian sebelum tiba dan setelah tiba (ke sini).” katanya lagi.

Untuk makluman, tesmasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan dilangsungkan pada 23 julai hingga 8 ogos 2021.

Featured Image: Tokyo 2020

Komen