Aksi England menentang Ireland di Stadium Wembley berakhir dengan tuan rumah mencatatkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas pasukan pelawat dalam aksi perlawanan persahabatan pada awal pagi tadi.
Gol-gol tersebut dijaringkan oleh kapten pasukan, Harry Maguire (18’), penyerang sisi, Jadon Sancho (30’) dan menerusi sepakan penalti oleh penyerang tengah, Dominic Calvert-Lewin (55’). Manakala pasukan pelawat terpaksa berputih mata tidak mampu meraih sebarang gol.
Hasil daripada aksi kedua-dua pasukan, berikut adalah lima perkara menarik yang kami dapat sajikan kepada anda dalam perlawanan ini:
#1 England Guna Formasi 3-4-3, Sancho dan Grealish Ancaman Utama
Nick Pope bermula sebagai penjaga gol, tiga pertahanan tengahnya ialah Micheal Keane, Harry Maguire dan Tyrone Mings. Manakala Harry Winks dan Mason Mount bergandingan di tengah. Recce James dan Bukayo Saka sebagai wing-back. Dan trio barisan serangan mereka diisi oleh Calvert-Lewin, Jack Grealish dan Jadon Sancho.
Menerusi formasi ini, Southgate dilihat menggunakan Jadon Sacho dan Jack Grealish yang lincah dan mempunyai kawalan bola yang baik secara maksimum untuk menembusi barisan pertahanan Ireland. Tumpuan utama kedua-dua pemain ini melancarkan serangan adalah di kawasan half-space. Gol kedua England juga terhasil daripada gandiingan dua pemain ini.
#2 Umpama Dalam Sesi Latihan, England Dominasi Permainan
Hampir 90 minit permainan dikuasai oleh England. Gandingan Winks dan Mount di bahagian tengah cukup baik dalam memastikan England bertukar-tukar hantaran di dalam kawasan Ireland sekaligus mendominasi permainan. Selain itu, England dilihat sangat berdisiplin bermain sebagai satu pasukan tidak kiralah semasa bertahan atau menyerang. Seperkara lagi adalah England mempunyai kelebihan daripada segi kualiti pemain berbanding barisan pemain-pemain Ireland.
#3 Bellingham Raih Debut Skuad Senior
Perlawanan menentang Ireland pada hari ini menjadi hari yang istimewa buat pemain tengah Borussia Dortmund, Jude Bellingham. Ini kerana dia meraih debut bersama skuad senior England. Bukan itu sahaja, dia juga menjadi pemain ketiga termuda yang melakukan debut bersama skuad Three Lions selepas Theo Walcott dan Wayne Rooney pada usia 17 tahun. Masuk pada minit ke-73, kelibatnya tidaklah begitu signifikan, hanya memastikan gandingan baik bersama Winks untuk memastikan England terus menguasai permainan.
#4 Barisan Pertahanan Pimpinan Maguire Pastikan ‘Clean Sheet’
Kapten pasukan, Harry Maguire berjaya memimpin pasukannya dan barisan pertahanan England meraih clean sheet dalam perlawanan kali ini. Dua perlawanan terdahulu ketika menentang Denmark dan Belgium, kedua-dua mereka merekodkan bolos satu gol. Kali ini, ianya juga dibantu oleh barisan pemain tengahnya yang sentiasa memastikan England sentiasa dapat menguasai bola. Namun beberapa serangan yang dilancarkan oleh Ireland berjaya dipatahkan oleh Maguire dan rakan-rakanya di barisan pertahanan. Sebagai bonus, Maguire turut menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-18 menerusi tandukan.
#5 Rekod 35 Tahun Berjaya Dipadamkan
Untuk makluman, sejak 1985 pasukan England gagal menumpaskan Ireland. Hasil pertemuan kedua-dua pasukan ini seringkali berakhir dengan keputusan seri atau tewas. Namun, perlawanan hari ini menyaksikan sumpahan 35 tahun itu berjaya diatasi oleh England 3-0 dengan penuh bergaya.
Featured Image: England