Penyerang lincah, Faisal Halim mengesahkan dirinya akan berpisah dengan Pahang selepas lima musim menabur bakti bersama pasukan tersebut.
Pengesahan itu dibuat selepas pasukan berpangkalan di Kuatan itu tidak menyambung kontraknya untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Bagaimanapun, penyerang berusia 22 tahun ini tidak berkecil hati apabila Pahang membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontraknya dan bersedia untuk mencari pasukan baharu.
“Lima musim bersama Tok Gajah saya seronok bergandingan dengan barisan pemain import bertaraf bintang seperti Mohamadou Sumareh, Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon.
“Pengalaman bersama mereka amat berharga untuk dibawa bersama pasukan baharu musim depan.
“Saya seronok bersama Pahang dan saya doakan semoga Tok Gajah meniti kejayaan selepas ini,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.
Mula menyertai skuad Tok Gajah pada penghujung tahun 2015, kelibat Faisal di atas padang kerap kelihatan sejak musim lalu.
Kelincahan dan kelajuannya menyaksikan ketua jurulatih, Dollah Salleh acap kali menurunkannya untuk beraksi sebagai penyerang sisi.
Dengan pengesahan yang dibuat, menarik untuk menyaksikan pasukan manakah yang akan disertai oleh Faisal untuk saingan Liga Malaysia 2021 kelak.
Menurut seorang wartawan tempatan, Faisal dikatakan akan kekal bersama pasukan berpangkalan di pantai timur.
Namun belum ada kepastian samada pasukan yang dinyatakan itu adalah pasukan Liga Super, Terengganu Football Club (TFC) atau pasukan Liga Premier, TRW Kelantan FC.
Sama-sama kita nantikan perkembangannya.
Featured Image: Pahang FA