Kedah Terus Gunakan ‘Magis’ Aidil Dalam Saingan Liga Malaysia & Piala AFC 2021
November 15, 2020 Hafizuddin Omar

Jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak nampaknya kekal membimbing pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah untuk saingan musim hadapan.

Menurut perkongsian di laman sosialnya, Aidil dilihat telah menandatangani kontrak lanjutan sambil disaksikan oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Radhi Mat Din, hari ini.

Perkembangan ini menyaksikan pasukan yang akan dikenali sebagai Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) itu akan terus mendapat bimbingan Aidil untuk memberikan cabaran dalam saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2021.

Tangkap layar daripada akaun Instagram Aidil Sharin Sahak

“Syukur alhamdulillah, terima kasih memberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada (pasukan) Kedah musim hadapan.”

“(Saya) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden, pengurusan tertinggi, staf-staf, barisan kejurulatihan, pemain-pemain dan juga para penyokong yang memberikan sokongan pada tahun ini.” tulisnya menerusi akaun Instagramnya.

“Insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik dan mempertingkatkan (prestasi) bersama-sama sebagai satu kelab.” tambahnya lagi.

Tiada sebarang makluman mengenai tempoh lanjutan kontrak di antara jurulatih berusia 43 tahun itu dan pasukan Kedah.

Foto: Kedah FA

Untuk rekod, Aidil dilantik sebagai ketua jurulatih Kedah pada penghujung tahun 2018.

Sejak daripada saat itu, Aidil telah mengemudi Kedah menjadi salah sebuah pasukan yang memberikan cabaran sengit dalam saingan Liga Malaysia.

Pencapaian paling cemerlang Aidil bersama Kedah adalah memenangi Piala FA 2019 sekaligus meraih tiket ke saingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020.

Featured Image: Aidil Sharin Sahak Instagram

Komen