Juara ARRC 2019, Azlan Shah Tak Malu Jadi ‘Rider’ Penghantar Makanan
November 16, 2020 Hafizuddin Omar

Pelumba Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman mengakui dirinya tidak berasa malu malah seronok apabila mula terlibat sebagai ‘rider’ penghantar makanan.

Selain daripada jiwanya yang suka menunggang di atas jentera beroda dua, menjadi ‘rider’ penghantar makanan membolehkan pelumba yang pernah beraksi dalam saingan Moto2 ini melalui jalan-jalan baharu yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini.

Kisahnya bermula dengan Azlan bersama keluarganya mengusahakan perniagaan kedai makan bersajikan menu utama ayam penyet.

Namun sejak pihak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula mac lalu, Azlan menyedari ramai pelanggan dan orang ramai sukar untuk keluar bagi membeli makanan.

Justeru, Azlan dan adiknya mengambil peluang tersebut dengan menghantar secara terus tempahan ayam penyet kepada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam.

“Bila saya buat idea ni (hantar makanan) ramai pelanggan yang minta saya sendiri yang hantarkan (kepada mereka),” katanya menerusi satu perkongsian di laman sosialnya.

“Saya dapat tempahan daripada peminat saya (sendiri), yang nak berjumpa saya (secara) depan-depan. Alhamdulillah, peminat saya banyak sokong untuk penjualan makanan ini,” ujarnya lagi.

Foto: Instagram Azlan Shah

Pelumba berusia 36 tahun itu turut mengakui pandemik Covid-19 yang melanda dunia saat ini menyebabkan ramai orang terkesan seperti kehilangan pekerjaan dan sebagainya. 

Namun pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team ini mengajak semua orang untuk kembali bangkit dan harungi pandemik ini secara bersama-sama.

Untuk rekod, Azlan Shah merupakan juara ARRC 2019 dalam kelas elit, ASB100 selepas mengumpul 238 mata secara keseluruhan dalam saingan musim lalu.

Sementara itu, menerusi satu makluman, pihak penganjur telah mengumumkan saingan ARRC 2020 dibatalkan pada september lalu ekoran kebimbangan penularan pandemik Covid-19 dan kesukaran untuk merentas negara.

Featured Image: Azlan Shah Kamaruzaman

Komen