Bekas pelatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengesahkan beliau sedang menunggu jawapan temu duga bagi mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei Darussalam.
Menurut laporan Stadium Astro, pengendali berusia berusia 64 tahun tersebut didekati oleh badan induk bola sepak negara berkenaan, Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darusaalam (NFABD) sekitar tiga bulan lalu.
“Pada awalnya ada perunding daripada FA Brunei berjumpa saya pada Ogos lalu untuk bertanyakan sama ada saya berminat menjadi ketua jurulatih pasukan Brunei atau tidak.
“Saya katakan yang kami boleh berbincang dan perbincangan itu berpanjangan,” katanya.
Difahamkan ketika ini nama jurulatih berpengalaman ini menjadi pilihan utama berbanding dua lagi calon yang lain untuk mengisi jawatan tersebut.
“Baru-baru ini, pihak pengurusan Brunei FA telah melakukan temu duga dalam talian untuk melihat calon yang sesuai.
“Mereka bertanyakan soalan mengenai pendapat kami berkenaan pemain dan latar belakang pasukan Brunei.
“Apa yang saya dengar, mereka akan membuat keputusan pada bulan ini dan akan melihat siapa yang akan dipilih menjadi jurulatih pasukan itu,” ujarnya lagi.
Pasukan terakhir yang dibimbing oleh King Gobal adalah Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) pada tahun lepas sebelum ianya digabungkan dan dijadikan pasukan simpanan (reserved team) Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Sejak daripada itu, Rajagobal tidak membimbing mana-mana pasukan samada tempatan atau di luar negara. Sekiranya terpilih, cabaran pertama Rajagobal pastinya mengemudi pasukan Brunei untuk mara sejauh mungkin dalam saingan Piala AFF yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
Untuk makluman, Rajagobal muncul satu-satunya ketua jurulatih yang pernah membimbing skuad kebangsaan Malaysia muncul juara kejohanan bola sepak rantau asia tenggara itu sejak dipertandingkan pada tahun 1996.
Kemenangan itu muncul pada tahun 2010 di mana skuad kebangsaan berjaya menumpaskan jiran tetangga, Indonesia 3-2 secara agregat dalam aksi perlawanan akhir di Kuala Lumpur dan Jakarta.
Featured Image: Rhino Arena