Artikel

Pemain Muda Usah Takut Buat Silap, Itu Sebahagian Daripada Bola Sepak – Karsten Neitzel

“Kesilapan adalah sebahagian daripada bola sepak, itu sudah pasti.” itulah kata-kata motivasi oleh ketua jurulatih baharu Selangor, Karsten Neitzel kepada pemain-pemain muda.

Menurut Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner berkata antara salah satu sebab Karsten dipilih mengisi kerusi panas tersebut kerana keberaniannya untuk menurunkan pemain-pemain muda.

Apa yang diperkatakan oleh Michael itu ada kebenarannya! 

Tangkap layar daripada temu bual pertama Karsten Neitzel bersama Selangor.

Baca: Karsten Dipilih Ketua Jurulatih Selangor Kerana Berani Guna ‘Ubi’ Muda

Belum genap seminggu perlantikan Karsten sebagai ketua jurulatih, ‘mata helangnya’ sudah mengenalpasti beberapa pemain muda berbakat dan berpotensi daripada skuad simpanan, Selangor 2.

“Mereka mempunyai ramai pemain berpotensi sebagai contoh Aliff (Haiqal), (Ahmad) Zikri, Afro (Shahrul) seorang pertahanan yang bagus.”

“Begitu juga Danial (Asri) sebagai penyerang. Dia seorang pemain yang bagus tetapi kita perlu lihat terlebih dahulu.” katanya dalam sesi temu bual pertama oleh kelabnya.

Dijangka nama-nama yang disebut oleh Karsten di atas akan bakal mengisi kesebelasan utama pasukan Selangor dengan lebih kerap dalam mengharungi saingan musim hadapan.

Perkara ini pastinya memberikan tanggapan pertama yang positif bukan sahaja kepada para pemain muda malahan penyokong-penyokong Selangor yang begitu dahagakan untuk melihat bakat-bakat baharu mewarnai kancah bola sepak negara.

Bagaimanapun, Karsten menegaskan dia akan menggunakan pendekatan yang bersesuaian untuk menggunakan pemain-pemain muda ini. 

Apa yang penting Karsten akan memberikan mereka sokongan untuk mengembangkan bakat dan meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain muda, mereka perlu menunjukkan prestasi yang baik, jangan takut melakukan kesilapan.” 

“Tetapi saya akan memberikan sokongan kepada mereka sebagai pemain muda sama seperti pemain-pemain senior yang lain.” tambahnya lagi.

Featured Image: Selangor FC

komen