Malaysia Football League (MFL) mengesahkan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020 tetap diadakan biarpun saingan Liga Malaysia musim ini hanya membabitkan saingan Liga Super dan Liga Premier.
Mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda negara saat ini, MFL bakal melangsungkan ABK 2020 tersebut mengikut norma baharu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu laporan akhbar tempatan baru-baru ini.
“Kita tetap akan adakan tahun ini. Cuma beberapa anugerah kita akan kurangkan mengikut kesesuaian semasa.
“Ia (ABK) masih di peringkat perbincangan dan kita akan ketahui selewat-lewatnya minggu depan mengenai perubahan dan tarikh sebenar ABK,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.
ABK19 yang lalu menyaksikan lebih daripada 25 kategori anugerah dipertandingkan.
Antara anugerah yang menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan pastinya Pemain Paling Bernilai (MVP), Penyerang Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Pertahanan Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Jurulatih Terbaik.
Featured Image: Johor Southern Tigers