Adakah kita bakal menyaksikan jurulatih-jurulatih seperti Roberto di Matteo, Maurizio Sarri atau Massimiliano Allegri yang sedang ‘menganggur’ ketika ini membimbing pasukan TRW Kelantan FC?
Sudah pasti ianya jauh panggang dari api untuk menjadi realiti dengan mengambil kira tahap kredibiliti ketiga-tiga jurulatih kelahiran Itali ini yang pernah mengendalikan kelab-kelab besar di eropah.
Bagaimanapun, satu perkembangan menarik dikhabarkan oleh pemilik pasukan, Norizam Tukiman bahawa seorang jurulatih dari negara tersebut sudah ‘sebelah kaki’ untuk menyertai skuad Kelantan FC.
“Jurulatih itu dilihat selesa dengan tawaran yang diberikan oleh Kelantan FC serta bersedia untuk menerapkan corak permainan baharu.
“Saya juga sedang melengkapkan senarai penolong jurulatih untuk bersama dengan pengendali dari Itali itu nanti,” katanya ketika seperti dilaporkan oleh Bernama.
Setakat ini, jarang-jarang sekali jurulatih kelahiran Itali menjadi pilihan pihak pengurusan untuk mengemudi pasukan dalam saingan tempatan.
Sekiranya rundingan bersama jurulatih itu berjaya dimuktamadkan oleh Norizam, barangkali kita dapat melihat sistem taktikal bercorakkan catenaccio diterapkan ke dalam skuad Kelantan FC.
Selain daripada jawatan ketua jurulatih, Norizam turut mengintai beberapa individu untuk mengisi jawatan penolong-penolong jurulatih TRW Kelantan FC.