Kenali Rabih Ataya Penyerang Sayap Laju, Lincah & Licik Yang Menjuarai Piala AFC
November 24, 2020 Hafizuddin Omar

Perpindahan penyerang sayap skuad kebangsaan Lubnan, Rabih Ataya ke pasukan yang baru sahaja mendapat promosi ke saingan Liga Super 2020, UITM FC mengejutkan segelintir pemerhati bola sepak namun tidak bagi majoriti peminat tempatan.

Bagi segelintir peminat bola sepak, ianya amat mengejutkan kerana bukan sahaja status Rabih sebagai pemain skuad kebangsaan Lubnan tetapi selaku pemain yang baru sahaja menjulang trofi kejohanan antarabangsa iaitu Piala AFC 2019 bersama pasukan berpangkalan di tanah kelahirannya, Al Ahed FC.

Manakala pasukan yang disertainya pula merupakan sebuah pasukan kerdil yang bukan sahaja tidak pernah beraksi di pentas antarabangsa malahan pertama kali menjejakkan kaki ke saingan utama bola sepak Malaysia sejak ditubuhkan pada 2008.

Aksi sulungnya bersama skuad The Lion Troops ketika menentang Melaka tidak begitu memberangsangkan malahan pasukannya mencatatkan kekalahan 2-0 termasuk ketika tewas 2-1 menentang juara bertahan liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun ketika perlawanan ketiga menentang Kedah, Rabih Ataya menjadi buah mulut para peminat selepas aksinya yang memporak-porandakan pasukan Kedah sehingga berjaya mengikat juara Piala FA 2019 itu seri 1-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Bagaimanakah Gaya Permainan Rabih Ataya Bersama UITM FC?

Rabih Ataya ketika menentang PDRM FA – Foto: UITM FC

Memiliki ketinggian menghampiri 1.8 meter, Rabih seringkali diturunkan oleh ketua jurulatih UITM FC, Frank Bernhardt untuk mengisi posisi penyerang sayap atau pemain tengah menyerang (attacking midfielder) di bahagian sisi.

Dia diletakkan di situ kerana Bernhardt menyedari Rabih memiliki kemampuan untuk melakukan larian dengan bola, memiliki gerakan yang lincah dan licik untuk memasuki kawasan kotak penalti lawan dari bahagian sisi sebelum melakukan hantaran kepada rakan sepasukan yang menunggu di hadapan pintu gol.

Rabih bukan sahaja cemerlang menjalankan tugasan tersebut malahan kemampuannya untuk memainkan peranan selaku pemain No.10 dengan melakukan killer pass turut menjadikannya sebagai nadi utama serangan pasukan sepanjang UITM FC mengharungi saingan musim ini.

Ambil perhatian juga terhadap hantaran lintang kaki kirinya dan sepakan percuma daripada Rabih Ataya!

Anda boleh lihat aksi dan persembahan Rabih Ataya yang memainkan peranan seperti dinyatakan di atas ketika menentang Kelantan, Kedah dan Selangor pada pautan di bawah:

Kelantan vs UITM FC – Piala Malaysia 2020
UITM FC vs Kedah – Liga Super 2020
UITM FC vs Selangor – Liga Super 2020

Permulaan Karier & Kejuaraan Yang Pernah Dikecapi oleh Rabih

Rabih Ataya ketika menentang Johor Darul Ta’zim – Foto: JST

Pemain ini memulakan karier bola sepak bersama pasukan berpangkalan di tanah airnya, Tadaman Sour. Namun namanya mula menjadi perhatian umum apabila menyertai Al Ansar Football Club selama lapan musim.

Pernah sekali berkelana di luar negara selama dua musim dengan menyertai pasukan Zob Ahad Esfahan FC yang beraksi dalam saingan bola sepak Iran dan selepas itu kembali ke tanah airnya dengan bergabung bersama Al Ahed FC.

Antara deretan kejuaraan yang pernah dikecapinya adalah Liga Premier Lubnan (2 kali), Piala FA Lubnan (2 kali) dan Piala Super Lubnan (3 kali). Kejuaraan tertinggi pastinya Piala AFC yang dimenanginya bersama Al Ahed FC pada tahun 2019.

Apakah Manfaat Buat Pasukan Baharu Yang Mengikat Rabih Ataya?

Rabih Ataya ketika menentang Kedah – Foto: Kedah FA

Sehingga artikel ini ditulis, berita tidak rasmi mengatakan Rabih Ataya telah menyertai pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air iaitu Kedah.

Sekiranya perpindahan Rabih ke skuad Helang Merah kendalian ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak adalah benar, apakah kelebihan yang akan diperolehi oleh Kedah untuk mengharungi saingan musim hadapan?

Pertamanya, Kedah dapat memanfaatkan kelajuan, kelincahan dan kelicikan Rabih di bahagian sisi dan sayap untuk membawa bola ke dalam kotak penalti atau sisi padang sebelum melakukan hantaran ke bahagian tengah.

Keduanya, Rabih boleh mengisi kelompongan posisi No.10 pasukan Kedah musim ini. Selepas pemergian Edgar Bernhardt pada penghujung musim 2019, Aidil cuba menggunakan sistem dua penyerang di mana Kpah Sherman sebagai penyerang utama di posisi paling atas dan Tchetche Kipre pula sebagai penyerang kedua dah juga pemain No.10 tetapi tugas kedua itu tidak begitu efektif dilakukan oleh Tchetche.

Ketiganya adalah pengalaman dan mentaliti Rabih yang pernah menjuarai Piala AFC dan saingan-saingan domestik bersama pasukan di Lubnan. Ini penting supaya Kedah dapat memberikan cabaran dalam saingan Piala AFC 2021 dan juga saingan Liga Malaysia 2021 sekaligus menamatkan saingan musim hadapan di posisi sebaik mungkin.

Featured Image: FA Kedah

Komen