Artikel

Pertahanan UiTM FC, Victor Nirennold Punyai Pengalaman Mahal Hadapi Liverpool

Siapa sangka pertahanan import, Victor Nirennold yang beraksi bersama UiTM FC musim ini mempunyai pengalaman mahal beraksi menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Liverpool FC.

Pengalaman mahal itu diraih oleh Victor semasa bermain bersama pasukan divisyen tiga Liga Inggeris iaitu Fleetwood Town FC sekitar empat tahun lalu.

Victor ketika beraksi menentang Liverpool FC – Foto: Fleetwood Town FC

Ketika itu, Liverpool yang dibimbing oleh Jurgen Klopp mengadakan perlawanan menentang Fleetwood Town dalam aksi persahabatan untuk mempersiapkan pasukan sebelum bermulanya saingan baharu EPL musim 2016/17.

Dalam perlawanan tersebut, Victor diturunkan oleh pengurusnya sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder) dalam sistem 4-4-2 klasik dan menyarung jersi bernombor 15.

Pengalaman mahal, mengawal bintang bola sepak dunia, Sadio Mane – Foto: Instagram Victor

Manakala Klopp menurunkan sebahagian besar pemain-pemain skuad utama seperti Sadio Mane, Danny Ings, Roberto Firmino, Lucas Leiva, Alberto Moreno, Dejan Lovren, Joe Matip, Jon Flanagan dan Loris Karius.

Sesuai dengan status Liverpool sebagai salah sebuah gergasi EPL, pasukan yang diwakili oleh Victor terpaksa akur tewas 5-0 hasil jaringan Marko Grujic, Ben Woodburn, Lucas Leiva dan Roberto Firmino.

Untuk rekod, Victor bermain dalam kancah Liga Inggeris dari 2015 sehingga 2018 sebelum berhijrah ke pasukan FK Senica yang beraksi dalam saingan Liga Slovakia.

Victor ketika menentang Terengganu FC, musim ini – Foto: UiTM FC

Victor yang berumur 29 tahun pada ketika ini berhijrah daripada pasukan SHB Da Nang FC dan menyertai UiTM FC kendalian Frank Bernhardt pada awal januari lalu. 

Kecemerlangannya di benteng pertahanan dan kepimpinannya telah membantu UiTM FC yang baru sahaja mendapat promosi ke saingan Liga Super menduduki tangga ke-6 liga mengatasi sasaran awal mereka iaitu tangga ke-8.

Tonton aksi Victor bersama UiTM FC dalam saingan Liga Super 2020 pada pautan di bawah:

Featured Image: UiTM FC

komen