Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan mencadangkan sebuah model gelembung sukan (sport bubble) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Usaha ini dilakukan oleh pihaknya agar sektor sukan seperti liga bola sepak tempatan serta kejohanan-kejohanan sukan yang lain dapat dijalankan pada tahun hadapan.
Untuk merealisasikannya, pihaknya bersama-sama pemegang taruh yang lain akan mengkaji model-model yang telah digunapakai oleh negara-negara lain.
“Memang saya mengharapkan bahawa aktiviti sukan diteruskan kerana menekan butang ‘pause’ ke atas sukan ini menghantar satu isyarat yang barangkali tidak tepat,” katanya menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Muar di Dewan Rakyat, hari ini.
“Maka sebab itulah di pihak KBS, MSN bersama pemegang taruh kita sedang mengusulkan satu model ‘sport bubble’ yang akan dikemukakan kepada MKN,
“Salah satunya kita mahu melihat model-model yang telah dilaksanakan di luar (negara).” tambahnya lagi.
Perkara lain yang akan diusulkan kepada MKN adalah kaedah menjalankan ujian pengesanan virus Covid-19 yang boleh memberikan keputusan dengan pantas.
Antara kaedah ujian pengesanan yang berada di dalam tumpuannya adalah RTK Antigen yang dikhabarkan mendapat kejituan sehingga 99%.
Kaedah lain yang menarik perhatiannya dan sedang digunapakai di United Kingdom (UK) ialah breathalyser – ujian yang hanya memerlukan masa sekitar seminit sahaja sebelum keluarnya keputusan.
“Saya sebagai Menteri Belia dan Sukan akan memperjuangkan dan memastikan (tahun) 2021 aktiviti sukan akan tetap diteruskan dan Insya-Allah kita akan yakinkan MKN dengan model sport bubble.” katanya lagi.
Featured Image: Reezal Merican Naina Merican