Ketua Jurulatih Sweden Sedia Pertimbangkan Kepulangan Ibrahimovic
November 26, 2020 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih, Janne Andersson sedia mempertimbangkan untuk memanggil kembali penyerang prolifik, Zlatan Ibrahimovic bagi menyarung jersi skuad kebangsaan Sweden.

Zlatan yang berusia 39 tahun telah tampil sebanyak 116 perlawanan dan muncul sebagai penjaring terbanyak negaranya dengan rekod 62 gol sebelum mengumumkan persaraan pada tahun 2016.

Baca: Contohi Sifat Mulia Zlatan, Belanja Rakan-Rakan PS5

Bagaimanapun, sekitar tiga minggu yang lalu Zlatan seakan-akan memberi bayangan untuk kembali menyarung jersi Biru Kuning menerusi laman sosialnya.

“Sekiranya (Andersson) memanggil saya, saya akan jawab. Saya akan beritahu kepadanya untuk memberikan saya masa. Saya perlu fikirkan mengenainya. Tetapi ia perlu datang daripadanya. 

“Jika dia fikir saya terlalu besar, (maka) saya tidak berminat. Jika dia percaya saya boleh memberikan sesuatu (kepada pasukan), maka saya akan fikirkan mengenainya.” kata Zlatan seperti dipetik daripada ESPN.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Sweden, Janne Andersson – Foto: Svensk Fotboll

Andersson percaya Zlatan telah mengambil satu langkah positif dengan bercakap kepada umum mengenai hasratnya untuk kembali bermain bersama pasukan kebangsaan.

“Ini menjadikan kami mempunyai sebab untuk berhubung dan berbincang mengenai perkara ini dengan lebih terperinci,”

“Panggilan skuad kebangsaan seterusnya pada bulan mac, jadi masih ada masa,” kata Andersson.

Ketika ini, Zlatan berada pada prestasi terbaiknya dengan menjaringkan 10 gol dalam 8 perlawanan buat AC Milan pada musim ini.

Ia sekaligus membantu skuad Rossoneri kendalian Stefano Pioli mengungguli puncak carta Serie A dengan kutipan 20 mata serta belum mencatatkan sebarang kekalahan.

Featured Image: Svensk Fotboll

Komen