Artikel

Pulau Pinang Cari Jurulatih Baharu Yang Boleh Kekalkan Corak ‘Tiki-Taka’

Selain daripada memiliki lesen kejurulatihan profesional, juara Liga Premier 2020, Pulau Pinang mahu ketua jurulatih baharu yang akan dilantik kelak mestilah dapat mengekalkan corak permainan tiki-taka.

Itulah yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah tatkala sedang berada di fasa akhir dalam menilai calon-calon yang akan mengisi posisi tersebut untuk mengharungi saingan Liga Super 2021 bermula februari hadapan.

Tangkap layar daripada Facebook Pages rasmi FAP

Terdahulu, skuad Harimau Kumbang terpaksa mencari ketua jurulatih baharu setelah rayuan mereka untuk mengekalkan Manzoor Azwira yang tidak memiliki lesen kejurulatihan profesional ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Justeru, mereka terpaksa ‘menurunkan pangkat’ Manzoor yang menerapkan corak permainan tiki-taka kepada skuad Pulau Pinang sehingga berjaya menjuarai Liga Premier 2020 sebagai pembantu jurulatih pada musim hadapan.

Ketua jurulatih Pulau Pinang musim ini, Manzoor Azwira – Foto: FAP

“Jurulatih baharu nanti sudah tentu mempunyai lesen Pro A dan kini kami dalam proses penilaian fasa akhir selepas me­nerima banyak resume sepanjang bulan ini.

“Antara permohonan yang diterima sudah tentu daripada jurulatih tempatan dan ada dalam kalangan mereka juga daripada luar negara.

“Namun, banyak faktor memainkan peranan kerana selain daripada gaji, kami memang menuntut jurulatih baharu itu mengekalkan corak permainan tiki-taka yang kami pamerkan sepanjang musim ini,” katanya seperti dipetik daripada Kosmo.

Corak permainan tiki-taka yang diterapkan oleh Manzoor telah menjadi buah mulut bukan sahaja dalam kalangan peminat pasukan tersebut malahan peminat-peminat bola sepak tempatan secara keseluruhan.

Lebih menarik, awal tahun lalu, satu klip video jaringan gol oleh pemain tengah, Endrick dos Santos tercetus hasil gerakan tiki-taka telah tular di laman sosial dan menarik perhatian peminat bola sepak antarabangsa.

Ia turut dikongsikan oleh beberapa akaun laman sosial bola sepak, salah satunya adalah 433 yang mempunyai lebih 30 juta pengikut dari seluruh dunia dan media-media antarabangsa.

Jika dilihat kepada statistik, corak yang diterapkan oleh Manzoor bukan sahaja cantik untuk ditonton di atas padang tetapi turut memainkan peranan besar dalam usaha mereka meraih slot promosi Liga Super 2021 dengan mencatatkan 8 kemenangan, 2 seri dan hanya tewas sekali sahaja.

Sebagai tambahan, Pulau Pinang tampil selaku pasukan paling ‘berbisa’ dengan menjaringkan 24 gol dalam saingan musim ini. 

Selain itu, mereka juga ‘kebal’ dengan menjadi merupakan pasukan yang mencatatkan bolos paling sedikit iaitu hanya 8 gol.

komen