Pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor dikatakan telah menyambar salah seorang prospek terbaik bola sepak negara generasi kedua keluaran Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Menurut laporan agensi berita, Bernama, pemain yang dimaksudkan itu adalah pertahanan berketinggian 1.80 meter, Muhammad Faiz Amer Runnizar yang akan genap usianya 18 tahun pada februari hadapan.
Untuk makluman, pemain ini turut tersenarai dalam kalangan 30 pemain yang mengikuti kem latihan pusat skuad bawah 19 tahun (B-19) kendalian Brad Maloney untuk persiapan menjelang saingan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 pada ogos lalu.
Selain skuad Red Giants, juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak melepaskan peluang untuk merekrut beberapa bakat-bakat terbaik keluaran akademi yang berpangkalan di Gambang, Pahang ini.
Antara yang diikat oleh skuad Harimau Selatan ialah Ziad El Basheer yang merupakan seorang pemain tengah dan penyerang yang pernah beraksi dalam saingan Kejuaraan AFC B-16, Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal.
“Ziad El Basheer dan Muhammad Faiz boleh dianggap bakat terbaik dalam kalangan pemain ketika ini, bagaimanapun, Muhammad Najmudin juga sepatutnya merupakan pemain terbaik tetapi disebabkan mengalami kecederaan lutut yang serius tahun lepas, dia terpaksa berehat panjang,” kata sumber yang tidak dinamakan kepada Bernama.
Sekurang-kurangnya sejumlah 12 pemain termasuk 3 nama yang disebutkan di atas memilih untuk menandatangani kontrak profesional bersama Selangor FC dan JDT.
Dimaklumkan oleh sumber tersebut, kesemua mereka ini yang sering mengisi kesebelasan utama pasukan ketika menuntut di AMD telah ditawarkan kontrak antara dua dan tiga tahun.
Berikut adalah 12 pemain generasi kedua AMD yang menandatangani kontrak bersama Selangor dan JDT:
Nama | Posisi | Negeri Kelahiran | Pasukan |
Muhammad Haziq Ridhwan Mohd Rosli | Pertahanan | Kuala Lumpur | JDT |
Muhammad Naqiu Aiman Abdul Hadi | Pertahanan | Terengganu | JDT |
Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal | Penyerang | Selangor | JDT |
Ziad El Basheer Norhisham | Tengah | Selangor | JDT |
Mohammad Marwan Abdul Rahman | Pertahanan | Selangor | JDT |
Muhammad Syukur Fariz Januri | Tengah | Melaka | JDT |
Muhammad Faiz Amer Runnizar | Pertahanan | Kuala Lumpur | Selangor |
Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri | Penjaga Gol | Johor | Selangor |
Abdul Afiq Hilman Abdul Halim | Sayap | Kuala Lumpur | Selangor |
Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi | Tengah | Selangor | Selangor |
Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri | Penyerang | Kelantan | Selangor |
Syed Zaris Irfan Syed Putra Hasdiana Faizal | Pertahanan | Pahang | Selangor |
Featured Image: FAM