Denda €3000 Menanti Barcelona Ekoran Keraian Gol Messi Terhadap Maradona
December 1, 2020 Hafizuddin Omar

FC Barcelona bakal berhadapan denda sebanyak €3000 (RM14,600) ekoran daripada keraian gol oleh Lionel Messi terhadap mendiang Diego Maradona.

Selepas menjaringkan gol ketika menentang Osasuna dalam saingan La Liga semalam, Messi bertindak menanggalkan jersinya dan menunjukkan jersi pasukan Newell’s Old Boys yang pernah disarung oleh Maradona suatu masa dahulu.

Kemudiannya, Messi mencium tangannya sebelum menjulang ke langit, meniru gaya keraian gol ikonik yang sering dilakukan oleh juara Piala Dunia 1986 tersebut.

Sejurus keraian gol tersebut, pengadil perlawanan, Mateu Lahoz melayangkan kad kuning kepada Messi kerana melanggar peraturan menanggalkan baju semasa dalam perlawanan.

Bagaimanapun, menurut laman Sport yang merujuk kepada peraturan pemainan Sepanyol, denda tersebut bakal dikenakan kerana menyalahi peraturan berkenaan menyampaikan mesej selepas meraikan gol.

“Mana-mana pemain yang mengangkat atau menanggalkan jersinya dan menyampaikan apa-apa jenis iklan, slogan, legenda, akronim, anagram atau lukisan, atau apa-apa kandungan atau tujuan kepada perbuatan tersebut akan didenda 3000 euro dan diberikan amaran.” tulis peraturan tersebut.

Featured Image: Newell’s Old Boys

Komen