Pasukan Liga Premier, Kuching City FC mengesahkan secara rasmi telah melantik jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti untuk mengemudi pasukan mereka dalam saingan Liga Malaysia 2021.
Pada awalnya, mereka ingin mengekalkan jurulatih musim lalu iaitu Akira Higashiyama dengan menawarkan kontrak lanjutan namun jurulatih kelahiran itu menolak tawaran tersebut dan memaksa Kuching City mencari jurulatih lain.
Setelah dibincangkan oleh Lembaga Pengarah, mereka memutuskan untuk melantik bekas pengendali Terengganu FC dengan kontrak selama setahun untuk mengendalikan Kuching City pada tahun hadapan.
“Kita amat berbangga dan teruja untuk bekerjasama dengan beliau memandangkan beliau adalah antara Jurulatih yang berpengalaman dan mempunyai banyak kejayaan di bawah ‘resume’ beliau.
“Kita yakin bahawa beliau boleh membawa kelebihan dan meningkatkan lagi mutu Kuching City FC.” kata Pengerusi Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman dalam satu sidang media hari ini.
Baca: No.3 Liga Super, Semua Ini Hasil ‘Tunjuk Ajar’ Irfan Bakti

Sementara itu, pasukan yang berpangkalan di ibu negeri Sarawak ini turut mendedahkan perancangan mereka untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih yang mencipta nama dengan Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan untuk mengisi jawatan Pengarah Teknikal bagi Kuching City.
“Dengan pengalaman dan kepakaran beliau, kita yakin boleh membangunkan sukan bolasepak bukan sahaja untuk Kuching City FC tetapi untuk Negeri Sarawak amnya.” tambahnya lagi.
Featured Image: MFL