Benarkah Pemain Yang Dikaitkan Dengan Kedah, Marc Klok Cedera 6 Bulan?
December 14, 2020 Hafizuddin Omar

Sejak akhir-akhir ini, pemain tengah kelahiran Belanda, Marc Klok cukup kuat dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah untuk mengharungi saingan musim hadapan.

Difahamkan Marc yang sering bermain di posisi tengah mahu di bawa ke kota Alor Setar untuk menggantikan pemain Filipina yang dilepaskan, Amin Nazari bagi mengisi slot pemain import asia tenggara/asia.

Amin Nazari – Foto: FA Kedah

Bagaimanapun, pemain naturalisasi Indonesia yang berusia 27 tahun ini dikatakan ditimpa kecederaan pada awal tahun dan terpaksa berehat selama enam bulan. Benarkah?

Menurut hos dan pengulas Liga 1 Indonesia, Tio Prasetyo Utomo berkata, “dia cedera ketika bermain bersama PSM (Makassar) dahulu (sebelum berhijrah ke Persija Jakarta januari 2020) tetapi kini sudah sembuh.

“Dia baik-baik sahaja.” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz.

Malahan Marc sendiri turut turut menafikan mengenai kecederaan ini menerusi beberapa laporan dari negara seberang.

Gaya Permainan Umpama Pemain Kacukan Malaysia-Australia, Brendan Gan

Marc ketika beraksi bersama Persija Jakarta

Seperkara lagi yang menjadi tanda tanya ialah Marc yang menyertai Persija Jakarta pada januari lalu mempunyai kontrak jangka masa panjang iaitu sehingga januari 2024.

Namun, Marc menyatakan kesediaannya untuk dipinjamkan ke mana-mana pasukan memandangkan ketidaktentuan perjalanan saingan bola sepak di Indonesia.

Sekiranya penghijrahannya ke skuad kendalian Aidil Sharin Sahak menjadi kenyataan, para peminat skuad Hijau Kuning boleh menganggap pasukan mereka seakan-akan menandatangani pemain kacukan Malaysia-Australia, Brendan Gan.

“Marc Klok merupakan pemain tengah box-to-box, kebiasaannya dia menjadi pemain yang membina serangan dari kawasan tengah padang.

Brendan Gan ketika menentang Thailand – Foto: FAM

“Dia mempunyai visi dan fizikal yang baik walaupun bukan seorang pemain yang berbadan besar (dan tinggi), tetapi kesungguhannya dan mentaliti tidak mahu kalah meletakkannnya di tahap berbeza,

“Ketepatan hantaran dia cukup baik, (tidak kira) ketika (situasi) bola mati atau permainan terbuka, dia boleh melakukan hantaran baik kepada rakan sepasukan.” jelas Tio lagi sambil mengiyakan gaya permainannya mirip Brendan Gan.

Gandingan Marc di bahagian tengah semasa beraksi di PSM Makassar, Wiljan Pluim

Ketika bersama PSM Makassar, Marc membentuk gandingan yang mantap bersama seorang pemain import juga kelahiran Belanda, Willem Jan Pluim.

Ketika itu, Marc ditugaskan untuk bermain lebih ke atas berbanding Pluim di bahagian tengah dengan berperanan sebagai pemain No.8 dan No.10 di dalam padang.

Walaupun beraksi sebagai otak pasukan atau perancang, Marc juga mampu meledak gol di mana dia telah menjaringkan 14 gol daripada 83 penampilannya.

Pemain Asia Tenggara Tetapi ‘Made In’ Belanda

Marc ketika diperkenalkan sebagai pemain kelab Scotland, Dundee FC

Menandantangai khidmat Marc Klok yang memegang passport Indonesia umpama mendapatkan khidmat seorang pemain import dari benua eropah. Dia diberikan kerakyatan Indonesia secara rasminya pada 13 november 2020.

Marc sememangnya ‘anak jati’ Belanda. Dilahirkan di Amsterdam pada 20 april 1993 dan memulakan karier bola sepaknya bersama sebuah pasukan di tanah kelahiranyannya iaitu skuad remaja FC Utrecht sebelum ke Scotland untuk menyertai Ross County selama semusim.

Boleh dikatakan pemain ini kaya dengan pengalaman di eropah memandangkan di juga berkelana di Bulgaria bersama pasukan Cherno More selama dua musim. 

Marc ketika menyarung jersi Oldham Athletic

Seterusnya, dia juga sempat merasa saingan bola sepak Liga Inggeris dengan bermain bersama Oldham Athletic pada julai 2016 sebelum kembali semula ke Scotland bersama Dundee FC januari berikutnya.

Marc tiba di bumi Indonesia pada tahun 2017 dengan menyertai PSM Makassar. Di sana, dia pantas mencipta nama dalam saingan Liga Indonesia.

Marc ketika ‘merumput’ bersama PSM Makassar

Bersama PSM Makassar, Marc telah membantu pasukannya beraksi dalam saingan Piala AFC disamping membawa pasukan itu memenangi saingan Piala Indonesia 2019.

Ini menyebabkan Persija Jakarta yang terkenal dengan julukan Macan Kemayoran mengikat khidmatnya dengan kontrak selama 4 tahun – suatu yang jarang-jarang dilakukan oleh pasukan di sana.

Featured Image: Persija Jakarta

Komen