Kisah ‘Super Agent’ Jorge Mendes Yang Menikam Valencia CF
December 15, 2020 Hafizuddin Omar

Ejen bola sepak merupakan individu yang bertanggungjawab mewakili pemain untuk merundingkan sesuatu manfaat buat pemain khususnya melibatkan kontrak antara pemain dan pasukan yang diwakilinya.

Manakala seseorang ejen itu pula akan meraih pendapatannya menerusi komisyen yang dijanjikan hasil daripada kejayaan memuktamadkan mana-mana kontrak di antara pemain dan kelab.

Bagaimanapun, ada beberapa kes dimana kehadiran ejen yang dilihat hanya memikirkan keuntungannya sahaja sehingga merugikan bukan sahaja kepada pemain malahan kelab bola sepak itu sendiri.

Salah seorang daripadanya adalah ejen bola sepak ternama dunia kelahiran Portugal iaitu ‘Super Agent’ Jorge Mendes menerusi agensinya, Gestifute bersama kelab berpangkalan di Sepanyol, Valencia CF.

Pemilik Valencia CF, Peter Lim

Menerusi hubungan rapat bersama pemilik kelab iaitu Peter Lim, Jorge berjaya membawa majoriti kliennya untuk ditandatangani oleh Valencia sejak bermulanya era milikan hartawan dari Singapura tersebut.

Dia dilihat oleh kalangan penyokong skuad Los Che sebagai mahu ‘menggemukkan poketnya’ sahaja dengan mempengaruhi kelab untuk menandatangani para pemain dan pengurus di bawah agensinya.

Antara pemain-pemain tersebut ialah Andre Gomes dan Rodrigo yang di bawa masuk dengan status pinjaman disertakan dengan pilihan pembelian secara tetap pada jendela musim panas 2014.

Andre Gomes

Selain kedua-dua pemain ini, Valencia turut ‘memecahkan tabung’ mereka dengan membawa masuk pemain-pemain lain yang menjadi klien kepada Jorge seperti Joao Cancelo, Alvaro Negredo dan Aymen Abdennour.

Bagi kalangan pengurus dan jurulatih pula, nama-nama seperti Nuno Espirito Santo dan Gary Neville berada di bawah seliaan Jorge. 

Lebih menarik, Nuno hanya memimpin Valencia sekitar semusim sahaja disebabkan oleh permulaan La Liga dan Liga Juara-Juara UEFA yang teruk pada musim berikutnya.

Nuni bertindak meletakkan jawatan dan pihak kelab kemudiannya mengumumkan Gary – orang yang mempunyai sifar pengalaman ketua jurulatih – sebagai penggantinya.

Gary Neville

Para penyokong melihat situasi ini sangat merugikan kelab memandangkan Valencia hanya mendapatkan pemain-pemain dalam kalangan senarai klien Jorge sahaja dan hubungan rapat dengan pemilik, Peter Lim pula dilihat sebagai komplot untuk mendapatkan komisyennya.

Menurut portal Transfermarkt, pada penghujung musim 2015/16 Valencia mencatatkan perbelanjaan bersih adalah -103.29 juta euro dan lebih malang mereka tamatkan saingan La Liga pada musim tersebut di kedudukan ke-12.

Shkodran Mustafi

Kerugian itu memaksa mereka untuk menjual beberapa pemain kesayangan para peminat untuk menyeimbangkan kembali kedudukan kewangannya. Ekoran itu, Valencia telah bertindak menjual Andre Gomes, Paco Alcacer, Shkodran Mustafi dan beberapa pemain lagi.

Namun penjualan pemain tersebut turut digantikan dengan klien milik Jorge iaitu Nani dan Ezequiel Garay. Beginilah trend dan putaran yang terjadi kepada Valencia termasuk kepada kalangan pengurus atau jurulatihnya.

Featured Image: AS

Komen