Laluan Berliku Sebelum Meraih Kontrak Bersama UITM FC (Bahagian 1)
December 18, 2020 Hafizuddin Omar

Tidak pernah menyertai sebarang akademi, sekolah sukan mahupun pasukan pelapis seperti skuad Piala Belia, Wan Khairil Azwa Wan Jusoh cukup bertuah apabila berpeluang menjadi pemain bola sepak profesional selama hampir dua musim bersama UITM FC.

Sejak di bangku persekolahan lagi, Azwa kelahiran Dungun, Terengganu seringkali dipilih mewakili sekolahnya untuk bersaing di kejohanan bola sepak peringkat daerah.

Kemuncaknya ketika di zaman sekolah menengah, Azwa menjadi tonggak penyerang dan memainkan peranan penting dalam membawa sekolahnya menjuarai saingan peringkat daerah untuk kategori bawah 15 tahun (2006) dan bawah 17 tahun (2008).

Bagaimanapun, dek kerana kekurangan daripada segi fizikalnya (bertubuh kecil dan rendah), Azwa acap kali dinafikan peluang untuk menyertai kem latihan bagi mewakili daerahnya untuk bersaing di pertandingan peringkat negeri.

UiTM Shah Alam Menjadi Titik Perubahan

Semasa menuntut dalam jurusan sains sukan peringkat sarjana muda di UiTM Shah Alam, kelibat dan bakat Azwa sebagai penyerang mula mencuri tumpuan seorang jurulatih ketika bermain mewakili fakultinya beraksi di dalam saingan Piala Timbalan Naib Canselor (TNC).

Jurulatih yang melihat Azwa bermain tersebut telah memanggilnya mewakili UiTM Shah Alam untuk beraksi di Karnival Sukan Mahasiswa (KARISMA) 2014 di Melaka.

Ia menjadi detik manis dalam hidup Azwa dan rakan sepasukannya apabila berjaya membawa UiTM Shah Alam mara ke saingan separuh akhir. Bagaimanapun mereka terpaksa akur tumpas kepada UiTM Puncak Alam di saingan separuh akhir.

Ketika bersama pasukan UiTM dalam saingan Piala KPT 2015

Selain daripada mendapat peluang pertama mewakili universitinya bermain dalam temasya KARISMA, pada tahun yang sama, Azwa turut mendapat peluang mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) untuk beraksi dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2014.

Pasukan ini menggabungkan para pelajar daripada UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Antara rakan sepasukannya ialah Asnan Ahmad (kini bersama Terengganu FC), Faiz Hanif (pemain UKM FC) dan Faridzuean Kamarudin (penjaga gol Kelantan FA).

Bagaimanapun, penyertaannya bersama pasukan MASUM hanya di peringkat kumpulan sahaja dan terpaksa pulang awal daripada saingan tersebut.

Sepanjang 2015 pula, Azwa mencapai satu lagi peningkatan apabila berjaya menembusi skuad UiTM FC yang bersaing dalam kancah Liga Institut Pengajian Tinggi (IPT) Divisyen 1.

Dia menjadi tonggak utama bersama skuad tersebut dan antara kejayaan manis adalah menjadi penjaring kedua terbanyak pasukan, menamatkan saingan liga selaku naib juara dan menjuarai Piala Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

‘Selection’ Untuk Skuad UiTM FC Liga Premier 2016

Selepas menjalani musim yang cemerlang dalam saingan Liga IPT, Azwa mendapat pelawaan untuk menyertai pemilihan skuad UITM FC yang akan bersaing dalam kancah Liga Premier 2016 pada penghujung tahun 2015.

Ketika itu, skuad UiTM FC dibimbing oleh Coach Raja Isa dan mereka bercadang untuk menggunakan pemain-pemain muda yang baharu. 

Kali ini, takdir memihak kepada Azwa. Walaupun menjadi nama terakhir yang dipilih untuk menyertai skuad The Lions namun Azwa berjaya mencapai cita-citanya untuk bergelar pemain profesional dalam hidupnya.

Azwa ketika diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama buat pertama kali.

Bukan senang untuk tampil buat kali pertama dalam saingan Liga Premier. Azwa perlu menanti sehingga ke perlawanan kesembilan liga untuk melakukan debutnya. Ketika itu, dia dimasukkan sebagai pemain gantian menentang PKNS FC.

Rezekinya untuk bermula dalam kesebelasan utama pula hanya tiba ketika menentang Negeri Sembilan iaitu pada perlawanan kesebelas liga dan menjadi perlawanan terakhir untuk ‘first leg’ Liga Premier 2016.

Memasuki ‘pusingan kedua’ Liga Premier, kali ini Azwa turun menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi, penyerang kelahiran Dungun ini mencipta kejutan dengan menyumbat dua gol buat UITM FC. Lebih manis, dua gol tersebut merupakan jaringan pertama yang disumbangkan oleh kalangan pemain tempatan skuad UITM FC di musim tersebut.

Selepas daripada perlawanan tersebut, liga dihentikan seketika kerana menjelmanya bulan ramadan. Sayang sekali, apabila liga kembali bersambung, Azwa telah hilang momentum dan dia sudah tidak dapat merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Lebih tragis, keputusan semasa pasukan yang terumbang-ambing telah menyebabkan Coach Raja Isa dipecat. Mujurlah UITM FC terselamat daripada dihumban ke saingan Piala FAM walaupun dalam keadaan cukup bergelut.

Ikuti sambungan Azwa yang mula hilang momentum dan motivasi diri seterusnya membuat keputusan drastik untuk menamatkan kontrak di pautan di bawah;

Baca: Disangka Mudah Dapat Kerja Setelah Tamat Kontrak.. Rupanya Terpaksa Menganggur (Bahagian 2)

Komen