Syahrian Abimanyu Pemain No.6 Dengan Kebolehan Hantaran Jauh Persis Pirlo
December 23, 2020 Hafizuddin Omar

Pemain skuad kebangsaan Indonesia Bawah 23 Tahun (B-23), Syahrian Abimanyu menjadi pemain baharu yang ditandatangani oleh gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), secara rasminya pada hari ini.

Dilahirkan pada tanggal 25 April 1999, pemain yang mesra dengan panggilan Abi ini merupakan seorang pemain tengah berbakat yang dalam saingan Liga 1 Indonesia sejak beraksi bersama Sriwijaya FC sekitar 2 tahun yang lalu.

Namun disebabkan Sriwijaya FC ditendang ke saingan Liga 2 ekoran menamatkan saingan Liga 1 di tempat ke-17, Abi mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan Madura United bermula tahun 2019 dimana bakatnya semakin bersinar.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Pemain Tengah No.6 Berpakej Lengkap, ‘Rare Item’ di Indonesia

Bercakap mengenai gaya permainan anak muda kelahiran, Banjarnegara, Jawa Tengah ini, dia boleh diumpamakan sebagai seorang pemain tengah yang memainkan posisi No.6 persis pemain legenda Itali, Andrea Pirlo.

Sebaik sahaja menerima bola, Abi dengan pantasnya akan membuat satu hantaran jauh ke hadapan mencari rakan sepasukan di bahagian sayap kanan atau kiri.

“Dia sering drop deep (turun) di bahagian tengah, mampu melakukan long pass (hantaran jauh) dan mempunyai visi yang baik.” ulas pemerhati bola sepak Indonesia, Aun Rahman ketika dihubungi oleh Sukanz.

Abi menjadi taruhan utama Madura United sepanjang musim 2019. Dia bergandingan baik bersama dua lagi pemain tengah iaitu Asep Berlian (defensive midfielder) dan Zulfiandi (creative midfielder) di dalam sistem 4-3-3 / 4-2-3-1.

Sistem tersebut hasil sentuhan ketua jurulatih, Dejan Antonic dan penolong ketua jurulatih merangkap bapanya, Rasiman Abimanyu.

Foto: Madura United FC

Selain daripada itu, Abi turut memiliki kelebihan dalam mengambil sepakan pada situasi bola mati. Walaupun masih muda, dia sering menjadi pilihan utama untuk mengambil sepakan percuma dan sepakan penjuru untuk Madura United dan tidak ketinggalan buat skuad Garuda Muda.

Berdasarkan kepada kebolehan yang ditujukkan oleh Syahrian ini, tidak hairanlah penolong jurulatih merangkap bapanya sendiri menganggap pemain ini sebagai pemain No.6 berpakej lengkap dan sangat ‘rare’ di Indonesia.

Pernah Bermain Menentang Nik Akif & Rakan-Rakan

Sebagai salah seorang pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan bawah umur Indonesia, Syahrian tidak begitu asing dengan pemain-pemain Malaysia.

Manakan tidaknya, Syahrian pernah berentap menentang skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) yang ditunjangi oleh Nik Akif Syahiran, Hadi Fayyadh, dan lain-lain dalam Kejuaraan B-19 AFF di Surabaya pada tahun 2018.

Skuad Malaysia B-19 yang beraksi dalam saingan Kejuaraan B-19 AFF 2018.

Ketika itu, Syahrian diturunkan oleh Indra Sjafri sebagai pemain kesebelasan utama Garuda B-19 untuk menentang Malaysia yang dibimbing oleh Bojan Hodak pada peringkat separuh akhir kejohanan terbabit.

Dalam perlawanan tersebut dia diletakkan sebagai pemain tengah dalam sistem 4-3-3. Namun sepertimana kita sedia maklum, perlawanan yang dihadiri oleh puluhan ribuan penonton tuan rumah tersebut berakhir dengan keputusan 1-1 selepas 90 minit permainan.

Bagaimanapun, skuad Garuda Muda yang diwakili oleh Syahrian terpaksa akur diketepikan oleh Nik Akif dan rakan-rakan apabila tewas kepada penentuan sepakan penalti dengan skor akhir 3-4 yang memihak kepada Malaysia.

Tidak Menyertai JDT II & Bakal Dipinjamkan ke Liga Lain

Tatkala semua peminat bola sepak tempatan menjangkakan pemain Indonesia ini akan diletakkan dalam skuad simpanan, JDT II namun ianya tidak akan berlaku sama sekali.

Menerusi satu makluman terbaharu oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Syahrian yang menjadi perancangan jangka masa panjang skuad Harimau Selatan bakal dipinjamkan ke pasukan yang beraksi dalam saingan liga lain.

Berdasarkan keputusan tersebut, jelas JDT mahukan Syahrian Andimayu memgembangkan dan mempertingkatkan lagi kebolehannya sebelum beraksi bersama skuad Harimau Selatan di masa hadapan. Tidak dipastikan ke mana hala tujunya namun menarik untuk menantikan pengumumannya.

Featured Image: Madura United FC

Komen