Disangka Mudah Dapat Kerja Setelah Tamatkan Kontrak.. Rupanya Terpaksa Menganggur (Bahagian 2)
December 24, 2020 Hafizuddin Omar

Menjelang saingan Liga Premier 2017, Wan Khairil Azwa sekali lagi terpaksa mengharungi proses pemilihan (selection) pada penghujung tahun 2016 sebelum dipilih untuk menyertai skuad The Lion Troops.

Sepertimana musim sebelumnya, namanya sekali lagi menjadi pilihan akhir walaupun UITM FC dilatih oleh ketua jurulatih yang baharu iaitu Wan Mustaffa Wan Ismail.

Bagaimanapun, musim tersebut cukup suram buat Azwa sejak bergelar pemain bola sepak profesional. Momentumnya yang mulai hilang sejak penghujung musim lalu tidak menampakkan tanda-tanda untuk kembali meningkat.

Baca: Laluan Berliku Sebelum Meraih Kontrak Bersama UITM FC (Bahagian 1)

Rentetan kecederaan melibatkan buku lali yang dialaminya sebelum daripada ini menambahkan lagi kesuraman di musim tersebut.

Ankle (buku lali) aku memang barai, memang patut kena (jalani) operate (pembedahan), tapi aku tak nak.”

“Benda-benda macam ini (kecederaan) yang kacau momentum, aku tengah sedap lepas tu dapat injury (kecederaan) dan aku kena rest (rehat) balik.” sambungnya dengan nada sedikit kecewa.

Bercakap mengenai kecederaan, setiap kali Azwa ditimpa kecederaan, dia terpaksa bermula semula dengan proses rehabilitasi sebelum kembali ke sesi latihan ringan. Jika disahkan pulih, barulah dia diberikan ‘lampu hijau’ untuk kembali mengikuti sesi latihan bersama rakan sepasukan.

Di dalam sesi latihan pula, Azwa perlu meningkatkan tahap kecergasannya agar dapat mengejar (catch up) rentak rakan sepasukan bagi meraih kembali kepercayaan ketua jurulatih untuk membarisi kesebelasan utama. 

Ianya merupakan satu tempoh yang sangat sukar buat Azwa ditambah pula perlu bersaing (compete) dengan kalangan pemain import terbaik pernah direkrut UITM FC sejak penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia seperti Do Dong-hyun, Dechi Marcel dan Akanni Sunday Wasiu.

Penyerang import UITM FC, Akanni Sunday Wasiu ketika menentang Malaysia B-19 dalam perlawanan persahabatan.

“Bila aku training keras sedikit lepas tu bertembung dengan pemain import, terus aku dapat injury (kecederaan).

“Bila aku dapat injury (kecederaan) pula, ada mulut-mulut yang cakap senangnya aku buat duit.”

“Dekat situ aku mula berfikir, keadaan badan aku dah tak mampu untuk terus bersaing di tahap tertinggi begini.” ujarnya.

Selain daripada isu kecederaan di atas, Azwa juga ‘letih’ kerana terpaksa menghadapi masalah politik dalam bilik persalinan. Perkara ini membuatkan motivasi dan kekuatan mentalnya semakin menurun dan terus menurun.

Temui Ketua Jurulatih Minta Tamatkan Kontrak

Ketua jurulatih pada masa itu, Coach Wan Mustaffa. Kini merupakan penolong kepada Frank Bernhardt.

Sekitar bulan april 2017, dalam keadaan hilang semangat dan motivasi, Azwa nekad menemui ketua jurulatihnya dan memohon untuk menamatkan kontraknya dengan segera.

Selepas daripada membuat keputusan drastik untuk menamatkan kontrak bersama UITM FC, Azwa berkata dia langsung tidak menyentuh bola apatah lagi bermain bola sepak selama enam bulan dan hanya keluar masuk gimnasium.

Ketika itulah, Azwa juga mula menyedari bahawa betapa bergelutnya untuk mendapatkan pekerjaan di luar daripada skop pemain bola sepak profesional walaupun memiliki sekeping ijazah sarjana muda dalam bidang sains sukan daripada universiti terkemuka negara seperti UiTM.

“Dalam tempoh enam bulan selepas aku berhenti, baru aku tahu betapa struggle-nya (bergelut) untuk mendapatkan (sebarang) pekerjaan (tetap) walaupun kau ada degree dan pengalaman sebagai pemain bola.”

Lebih-lebih lagi ketika dia mempunyai kontrak bersama skuad The Lions, Azwa berada dalam zon selesa (comfort zone) dimana dia mendapat bayaran yang baik walaupun beraksi dalam saingan Liga Premier disamping tidak mempunyai masalah kelewatan atau tunggakan gaji.

“Tiada masalah gaji ketika bersama UITM FC, kau tak perlu runsing langsung, duit gaji pun masuk (akaun) macam orang kerja (sektor) kerajaan, kalau orang kerja kerajaan (gaji) masuk 26hb kami pun masuk hari yang sama.” sambungnya lagi.

Diracuni Pemikiran ‘Lapuk’ Zaman 1990-an

Sempat juga Azwa berkongsi, sebelum ini dia diracuni dengan pemikiran di zaman 1990-an. Dia sering dimomokkan dengan kisah-kisah mengenai bekas pemain bola sepak mudah diterima atau diambil bekerja di mana-mana majlis perbandaran daerah dan juga bank-bank setelah menggantung but bola.

“Perkara ini yang membuatkan aku rasa confident (yakin) untuk berhenti (secara drastik).” sambungnya lagi.

Bagaimanapun perkara sebaliknya yang berlaku. Dalam tempoh enam bulan tersebut, Azwa terpaksa tinggal bersama kakaknya di Selangor. Tempoh tersebut digunakan olehnya untuk menghantar permohonan bekerja dimana sahaja diiklankan kekosongan jawatan.

Walaupun tidak dipanggil bekerja oleh mana-mana syarikat dalam tempoh enam bulan tersebut, Azwa tidak sekadar goyang kaki di rumah kakaknya. Dia mengambil keputusan untuk menjadi pemandu Grab dan melakukan kerja-kerja sambilan yang lain untuk menyara keperluan dirinya.

Mujurlah pada saat itu, Azwa masih berstatus bujang dan tiada sebarang komitmen yang tinggi untuk menyara anak-anak dan isteri.

“Ketika bulan 10 (selepas 6 bulan menganggur) barulah aku mendapat kerja sebagai sports instructor sebuah pusat sukan bersama syarikat (perkapalan) MISC di Menara Dayabumi.”

Rezeki itu sangat disyukurinya bukan sahaja kerana mendapat pekerjaan yang tetap setelah sekian lama menganggur tetapi ia merupakan pekerjaan yang selari dengan kelulusannya iaitu bidang sains sukan.

Selain daripada berkelulusan dalam bidang sains sukan, pengalamannya sebagai bekas pemain profesional banyak membantu Azwa dalam menjalankan tugasnya sebagai sports instructor kepada klien-klien di sana.

Setelah dua tahun menabur bakti di sana, Azwa tidak meneruskan khdimatnya bersama syarikat tersebut atas beberapa faktor namun dia kini beralih tugas sebagai Eksekutif Sukan bersama sebuah agensi kerajaan iaitu Institut Sukan Negara (ISN).

Sempat juga dia menitipkan sedikit nasihat kepada pemain-pemain bola sepak di luar sana sebelum membuat keputusan untuk menggantung but sepertinya, katanya, “Kau kena pandai menguruskan kewangan walaupun pada saat ini ramai yang mendapat gaji yang lumayan.”

“Rancang masa hadapan dengan duit simpanan tersebut andai kata sudah tidak mampu bermain sebagai contoh disebabkan kecederaan atau kemalangan.”

“Untuk pemain-pemain muda, kau kena ada pendidikan, kau kena jadi thinking atheletes bak kata UITM FC. Sekurang-kurangnya ada sekeping diploma atau degree dan bukannya setakat main bola sahaja. Sebabnya di masa hadapan, kau takkan tahu apa yang bakal terjadi.”

“(Nasihat terakhir) berjaga-jaga dengan kecederaan, kesilapan aku adalah terlalu push (memaksa) untuk pulih daripada kecederaan dan nak main balik, kecederaan tidak pulih dengan baik dan akhirnya mudah mendapat kecederaan semula.” ujarnya menutup bicara.

Ikuti sambungan seterusnya mengenai Azwa mengejar cita-cita sebagai pengulas sukan tanah air DI SINI.

Komen