Daripada Pemain Menjadi Pengulas, Ini Kisah Permulaan Azwa (Bahagian 3)
December 30, 2020 Hafizuddin Omar

Nota: Ini merupakan sambungan daripada kisah melibatkan bekas pemain bola sepask UITM FC, Wan Khairil Azwa. Untuk baca kisah sebelumnya sila klik, Bahagian 1 dan Bahagian 2.

Setelah berlalunya karier sebagai pemain bola sepak profesional dan mendapat kerja tetap sebagai eksekutif sukan bersama sebuah agensi kerajaan, Wan Khairil Azwa mula berkecimpung dalam bidang pengulasan sukan.

Sepertimana sukarnya untuk menjadi pemain bola sepak profesional, begitulah juga sukarnya untuk menceburi bidang pengulasan sukan.

Bagaimanapun, apa yang positifnya dapat kita ikuti mengenai bekas pemain ini adalah setiap peluang yang datang bergolek, jangan disia-siakan begitu sahaja.

Menceritakan kepada Sukanz, ianya bermula pada tahun 2018. Ketika itu, dia dipelawa untuk mengulas oleh seorang pemilik sebuah syarikat produksi yang dikenali sebagai Nazry yang memiliki Blue Black Arena.

Kebetulan Nazry mengenalinya sebagai seorang bekas pemain bola sepak profesional. Pada pandangan Nazy, bekas pemain yang beraksi dalam saingan Liga Premier Malaysia seperti Azwa sudah pasti memiliki asas pengetahuan tentang taktikal serta corak permainan di atas padang.

Di atas faktor itulah Nazry mempelawanya untuk mengulas perlawanan-perlawanan liga sosial. 

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, pelawaan itu sangat bermakna buat Azwa memandangkan dia sendiri mempunyai minat untuk berkecimpung dalam bidang pengulasan sukan sejak dari kecil lagi.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman, pelawaan itu diambil serius oleh Azwa dan dijadikan platform untuk belajar sambil memberi peluang kepada dirinya berkecimpung dalam satu bidang yang sememangnya baharu dalam lembaran hidupnya.

“Awalnya, dia (Nazry) pun tak tahu aku boleh mengulas atau tidak. Dia (sendiri) tidak menyedari bahawa aku sendiri mempunyai minat terhadap pengulasan.” 

“Mengulas ni kalau ikutkan daripada usia kanak-kanak lagi aku sudah mula mengajuk cara orang mengulas contohnya macam Hasbullah Awang, Shaukei Kahar, Jasni Shafie.”

“Biasanya selepas tamat perlawanan, aku ulang balik pengulasan mereka.”

“Sebelum aku dapat peluang ini, aku kerap memuat naik IG Story aku sedang mengulas secara suka-suka. Bukan sahaja dalam sukan bola sepak, aku ulas hampir semua sukan seperti permotoran, hoki, badminton dan lain-lain.” kongsinya.

Bermula daripada pelawaan tersebut, Azwa mula mendapat peluang untuk mengulas perlawanan liga sosial di sekitar Lembah Klang sehingga ke saingan Selangor Champions League (SCL).

Bekas pemain yang beraksi di posisi penyerang ini semakin menunjukkan peningkatan dalam bidang pengulasan sehingga ditawarkan untuk menjadi salah seorang pengulas bagi saingan amatur iaitu Liga M3 sepanjang musim 2019.

Azwa melukan tugasnya dengan baik dan dia kekal sebagai salah seorang pengulas untuk saingan Liga M3 bagi musim 2020. Dukacitanya, saingan tersebut tidak dapat dijalankan pada tahun setelah pihak Amateur Football League (AFL) membatalkannya ekoran pandemik covid-19 yang merebak di eluruh Malaysia.

Bagaimanapun, satu perkara yang tidak disangka-sangka berlaku pada tahun yang penuh kesukaran ini.

Disifatkannya menjadi satu ‘batu loncatan’ paling besar sejak berkecimpung dalam bidang pengulasan sukan apabila dipanggil oleh stesen televisyen iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menjadi pengulas kejohanan hoki berprestij negara iaitu Piala Tun Abdul Razak 2020.

Kejohanan itu menyaksikan Perak berjaya merangkul kejuaraan edisi ke-58 apabila berjaya menumpaskan Terengganu pada perlawanan akhir dengan jaringan 4-2 bagi kategori lelaki. Untuk kategori wanita pula, ianya dimenangi oleh pasukan Pahang setelah menumbangkan juara bertahan, Selangor dengan keputusan akhir 2-1.

Setelah tamatnya tugasan mengulas kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak tersebut, ia menjadi detik paling menggembirakan hidupnya setakat ini. Ini membuatkan Azwa semakin berkeyakinan tinggi untuk pergi ke peringkat seterusnya dalam bidang pengulasan sukan tanah air.

Dan antara cita-citanya untuk karier pengulasan sukan adalah menembusi kalangan ‘otai’ bidang ini dan memasang impian untuk mengulas pasukan kesayangan iaitu skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Kepada Azwa, semoga berjaya!

Komen