Pemisahan dan proses penswastaan di antara persatuan bola sepak (FA) dan kelab bola sepak (FC) membolehkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberikan tumpuan yang lebih baik kepada pembangunan akar umbi.
Menurut Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil Ismail, di antara program pembangunan yang akan disegerakan oleh FAS bagi tahun 2021 adalah memperkenalkan dan menjalankan kejohanan liga di peringkat belia.
“Tahun 2021 menjadi tahun pertama kami akan perkenalkan dan jalankan Liga Bawah 19 (B-19) Tahun dan Liga Bawah 21 (B-21) Tahun di peringkat negeri Selangor.
“Ini merupakan sebahagian daripada mandat FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang perlu kita gerakkan.” katanya ketika ditemui Sukanz.
Kejohanan liga peringkat remaja ini akan disertai oleh kelab-kelab gabungan yang berdaftar dengan badan induk bola sepak negeri terbabit. Difahamkan ada sebanyak 77 buah kelab gabungan yang berdaftar dengan FAS setakat ini.
Selain itu, mereka turut mengambil inisiatif sendiri untuk menjalankan saingan liga-liga remaja atau junior yang merangkumi saingan Liga B-17, B-15, B-12, B-10 dan B-8.
Untuk menjalankan liga-liga di peringkat akar umbi ini, FAS mendapat sokongan daripada kerajaan negeri menerusi geran yang diberikan serta dokongan syarikat-syarikat korporat yang mahu menyumbang menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) masing-masing.
“Kerja-kerja pembangunan sememangnya memerlukan dana, dan kita pula tidak membuat sebarang keuntungan daripada liga-liga ini, dan ianya disubsidikan.” tambahnya lagi.
Selain itu, tahun depan juga menjadi tahun pertama FAS akan melancarkan saingan liga bola sepak bagi wanita di negeri Selangor. Untuk peringkat awal, penyertaannya adalah terbuka untuk satu kategori sahaja sebelum diluaskan kepada kategori umur yang lain.
“Tujuannya untuk memberi galakan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan untuk bermain bola sepak tetapi kita juga cuba untuk bawa agenda ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan memperkenalkan program duta untuk bola sepak wanita.” jelas Nabil lagi.
Antara perkara lain yang akan diberikan tumpuan khusus oleh FAS pada tahun hadapan adalah adalah menjalankan liga-liga amatur dan sosial sedia ada yang terdiri daripada saingan Selangor Champions League (SCL), Liga Super FAS, Liga Perdana FAS, Liga Divisyen 1 FAS dan Liga Divisyen 2 FAS.
Bukan itu sahaja, FAS juga akan memainkan peranan untuk hidupkan kembali industri bola sepak yang terhenti ekoran pandemik Covid-19 serta membantu kelab-kelab kecil. Tidak dilupakan, terlibat sama dalam pembangunan jurulatih dan pengadil di negeri tersebut.
“Tugas kita (FAS) adalah menyediakan ekosistem (bola sepak) yang menyeluruh untuk negeri (Selangor).” terang Nabil.
Featured Image: Selangor FC