Masih Relevenkah ‘Si Tua’ Valentino Rossi untuk MotoGP?
August 3, 2020 Hafizuddin Omar

Juara dunia sembilan kali MotoGP, Valentino Rossi sudah menginjak ke usia 41 tahun namun sedar ataupun tidak, pelumba yang terkenal dengan gelaran The Doctor itu sudah mewarnai litar perlumbaan sukan permotoran selama 24 musim.

Dilahirkan pada 16 Februari 1979 di Urbino, sebuah bandar di Itali, Rossi mendapat dorongan berlumba motosikal menerusi bapanya, Graziano Rossi yang juga merupakan seorang pemenang Grand Prix. Menariknya, beliau bermula dengan go-kart sewaktu zaman remajanya sebelum beralih kepada jentera dua roda.

Walaupun memasuki usia senja kariernya, Rossi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mahu mengundurkan diri daripada saingan motosikal berkuasa tinggi walaupun sudah tidak mengecapi kejuaraan MotoGP sejak dari tahun 2010.

Maka timbul perdebatan rancak dalam kalangan peminat sukan permotoran, masih relevankah Valentino Rossi dalam saingan kelas premier MotoGP ini?

Rossi 10 pelumba terbaik dunia

Valentino Rossi

Seperti yang kita sedia maklum, Rossi telah kemarau kejuaraan dunia selama 10 musim. Ianya didominasi oleh pelumba muda kelahiran Sepanyol, Marc Marquez. Hanya pada tahun 2011, 2012 dan 2015 sahaja kejuaraan itu dirangkul oleh Casey Stoner dan Jorge Lorenzo.

Bagaimanapun, dalam 10 musim tersebut, Rossi masih memberikan cabaran kepada pelumba-pelumba lain dalam saingan MotoGP. Lima musim daripadanya, Rossi berjaya menempatkan diri dalam kalangan tiga teratas manakala kedudukan tercorotnya hanya di tangga ke-7 iaitu pada musim 2011 dan 2019.

Rekod ini menunjukkan dengan jelas Rossi The Doctor masih bersaing hebat dan menempatkan diri dalam kalangan 10 pelumba terbaik dalam 10 musim yang lepas. Bagaimanakah seseorang yang berada dalam kalangan 10 terbaik sudah dikatakan tidak relevan dalam saingan MotoGP?

Ghairah & Cinta The Doctor

Keghairahan dan cinta pelumba bernombor.46 terhadap sukan permotoran tidak mampu dinafikan oleh sesiapa. Jikalau kejuaraan yang dikejar oleh The Doctor, pastinya beliau sudah mengangkat bendera putih selepas 10 musim tidak menjulang sebarang trofi.

Tiga tahun yang lalu, Rossi sudah memberi bayangan bahawa dia akan terus berlumba sehingga menginjak ke usia 50-an. Beliau berkata seperti dipetik daripada laman Monster Energy, “saya suka menunggang motosikal dan kadangkala ia boleh menjadi sukar tetapi saya suka (situasi) begini, gaya hidup begini.”

Ayat itu sudah cukup untuk menunjukkan betapa cintanya Rossi akan sukan permotoran sehinggakan beliau menganggap perlumbaan ini sebagai gaya hidupnya.

Malah selepas daripada pengumuman kalendar baharu musim MotoGP 2020 pada Jun lalu, Rossi antara pelumba yang menarik nafas lega dan teruja untuk kembali ke litar perlumbaan. Antara reaksi Rossi selepas daripada pengumuman tersebut, “saya sangat rindukan (jentera) M1.”

Keghairahan dan kecintaan tidak boleh dipaksa namun bagi Rossi dua perkara ini tidak pudar walaupun kejuaraan telah lama tidak bersama-samanya.

Rossi duta sukan permotoran

Suka atau tidak, Valentino Rossi kebanggaan rakyat Itali ini adalah nama yang cukup sinonim dengan sukan permotoran dan perlumbaan MotoGP. Malah namanya masyhur di seluruh dunia. Lihat sendiri di laman sosialnya, beliau mengumpul 13 juta Likes di Facebook, 8.5 juta pengikut di Instagram dan 5.5 juta pengikut di Twitter.

Legenda yang masyhur dan masih hidup seperti Rossi ini adalah sebaris nama-nama atlet sukan tersohor yang lain seperti Roger Federer (tenis), Tiger Woods (golf) atau Zlatan Ibrahimovic (bola sepak).

Kesemua atlet-atlet sukan yang dinyatakan di atas telah melepasi zaman keemasannya sewaktu mencipta pelbagai detik berharga dan rekod-rekod yang menakjubkan. Pelbagai trofi kejuaraan turut dijulang mereka dan memenuhi ruangan simpanan peribadi masing-masing.

Namun nama-nama besar seperti ini masih menarik minat ramai orang untuk menyaksikan sukan-sukan tersebut dan secara tidak langsung ia menarik tumpuan media, memberi publisiti kepada penaja dan menjana keuntungan kepada pengendali mana-mana kejohanan sukan itu sendiri.

Adalah satu kerugian buat sukan permotoran dan saingan MotoGP secara umum sekiranya pelumba legenda yang masih menyengat seperti Rossi, meninggalkan litar perlumbaan pada saat ini.

Tidak keterlaluan untuk penulis katakan yang Valentino Rossi masih lagi relevan untuk MotoGP kerana Rossi adalah MotoGP dan MotoGP adalah Rossi.

Komen