Written by 6:00 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Sertai Agensi InsaProject, Stefano Lilipaly Digosipkan Berhijrah Ke Liga Malaysia

Pemain tengah berdarah kacukan Belanda-Indonesia, Stefano Lilipaly kuat digosipkan dengan penghijrahan ke Liga Malaysia. Gosip tersebut timbul selepas dia diumumkan secara rasmi menyertai agensi InsaProject Global Group, yang berpangkalan di Malaysia.

Agensi yang mempunyai kaitan dengan adik beradik Insa mengumumkan bintang Bali United yang berusia 30 tahun itu menjadi klien mereka menerusi satu makluman di laman sosial rasminya, dua hari lalu.

Tangkap layar daripada akaun instagram InsaProject Global Group

“Selamat datang ke InsaProject Global Group family Stefano Lilipaly.” tulis akaun laman sosial tersebut.

Gosip yang mengaitkannya ke Liga Malaysia dirancakkan lagi dengan makluman mengenai kontraknya bersama Bali United telah tamat pada penghujung tahun lalu. Tambahan pula, keberlangsungan saingan Liga Indonesia yang masih belum diputuskan secara rasmi menyebabkan Stefano kuat dikaitkan ke sini.

Stefano Lilipaly Si Attacking Midfielder Yang Versatil

Pemain yang lahir di Kota Arnhem ini merupakan satu nama besar dalam arena bola sepak di Indonesia dengan menjadi taruhan utama buat Bali United dan skuad kebangsaan negaranya.

Walaupun mula menyertai skuad Serdatu Tridatu sekitar ogos 2017 namu Stefano sudah lama bermain bersama skuad Garuda dengan melakukan debut pada 14 ogos 2013 ketika menentang Filipina.

Stefano cukup dikenali sebagai seorang pemain yang memiliki work rate yang tinggi dan versatil. Selain itu, Stefano juga mampu memainkan beberapa peranan dan posisi lain disamping berkebolehan melakukan umpanan bijak buat rakan sepasukan dan menjaringkan gol.

“Kebiasaannya dia bermain sebagai nombor 10 iaitu pemain tengah menyerang (attacking midfielder) tetapi kadangkala boleh bermain sebagai pemain sayap kiri atau false 9, bergantung mengikut keadaan, work rate-nya merupakan antara yang terbaik di Indonesia.” 

“Saya masih ingat ketika dia baru sahaja tiba di Indonesia, dia bermain sebagai playmaker, tetapi pada pendapat saya di Bali United mereka mempunyai Fadil Sausu, jurulatihnya menolaknya ke atas sedikit supaya dia boleh menjaringkan lebih banyak gol dan memberikan lebih banyak assist.” kongsi pengulas Liga Indonesia, Tio Prasetyo Utomo kepada Sukanz.

Difahamkan pemain ini membentuk gandingan yang cukup serasi bersama bekas penyerang Melaka United, Ilija Spasojevic dalam membentuk barisan serangan yang ampuh dalam kancah bola sepak Indonesia. Musim terbaiknya bersama Bali United hadir pada musim lalu apabila membantu pasukan tersebut merangkul kejuaraan Liga 1.

Pasukan Manakah Yang Boleh Dituju oleh Stefano Lilipaly di Malaysia?

Sejak digosipkan berhijrah ke saingan Liga Malaysia, menjadi persoalan pasukan manakah yang akan ditujunya?

Di sini, kami menyenaraikan beberapa pasukan yang mungkin boleh disertainya berdasarkan kekosongan kuota pemain ASEAN atau ASIA yang belum diisi secara rasmi oleh pasukan di saingan Liga Super Malaysia.

Pertama sekali adalah pasukan Kedah, di mana pasukan ini masih belum mengisi kekosongan pemain berkuota ASEAN yang ditinggalkan oleh Shakir Hamzah. Bagaimanapun, kuota pemain tersebut hangat dikaitkan dengan pemain tengah skuad kebangsaan Singapura, Anumathan Kumar.

Yang keduanya adalah pasukan Perak yang masih mempunyai kekosongan kuota pemain ASIA. Kuota pemain ASEAN pula telah diisi dengan pertahanan skuad kebangsaan Singapura iaitu Shakir Hamzah yang dilepaskan oleh Kedah.

Ketiganya adalah Selangor yang masih mempunyai kekosongan kuota pemain ASIA setelah melepaskan khidmat Taylor Regan baru-baru ini. Kuota pemain ASEAN pula kekal dipertaruhkan ke atas pemain tengah bertahan dan pertahanan Singpura, Safuwan Baharudin.

Tidak dilupakan Pahang, Melaka, UiTM FC, Sabah dan Kuala Lumpur juga masih mempunyai kekosongan untuk slot kuota pemain import tersebut.

Manakala pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC dan Pulau Pinang sudah pasti tidak dapat disertai oleh Stefano memandangkan kuota pemain ASEAN/ASIA sudah diisi.

Petaling Jaya City (PJ City) FC pula mengambil keputusan untuk menggunakan sepenuhnya pemain-pemain tempatan.

Walaupun Stefano sendiri belum membuka mulut mengenai hala tuju yang seterusnya, terdapat kebarangkalian untuk dia menyertai mana-mana pasukan di atas. Pasukan manakah? Sama-sama kita nantikan.

Featured Image: Bali United

(Visited 194 times, 1 visits today)
Close