Artikel

Norizam Sudah Bertemu PBT Tumpat Berkenaan Tanah Untuk Didirikan Pusat Latihan

Pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman dimaklumkan telah bertemu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kelantan untuk mendapatkan sebidang tanah bagi mendirikan pusat latihan moden buat pasukannya.

Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Wan Roslan Wan Hamat berkata sebelum ini Norizam dilihat tertarik dengan sebidang tanah berlokasi di dalam jajahan Tumpat. Menerusi satu laporan sebelum ini, difahamkan tanah tersebut berkeluasan 12 hektar.

Norizam Tukiman ketika menyaksikan perlawanan persahabatan skuad Piala Presiden menentang Piala Belia, bulan lalu.

“Saya (telah) bawa Norizam kepada kita supaya boleh memohon dan berurusan (secara terus) dengan kerajaan negeri,”

“Norizam telah berjumpa dan brief (beri pembentangan) kepada Majlis Daerah Tumpat dan majlis daerah telah mengeluarkan prosedur-prosedur (untuk mendapatkan tanah tersebut).” terang Wan Roslan ketika dihubungi oleh Sukanz, semalam.

Menurut Wan Roslan, tiada sebarang respon yang diberikan oleh Norizam yang juga merupakan usahawan kelahiran negeri Johor selepas mendengar prosedur-prosedur daripada PBT tersebut. Pada masa yang sama, Wan Roslan turut menafikan tanah itu akan diberikan kepada Norizam secara percuma kerana ianya merupakan milik kerajaan negeri.

Tangkap layar makluman oleh TRW Kelantan FC mengenai padang latihan yang sedang dipersiapkan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan TRW Kelantan FC mengumumkan telah menyewa sebuah padang milik Koperasi Gemilang Tani yang terletak dalam jajahan Kota Bharu untuk dijadikan pusat latihan rasmi pasukan menerusi satu makluman di laman sosial, minggu lalu.

Tiada sebarang kepastian samada tanah tersebut akan didirikan pusat latihan moden seperti yang diimpikan oleh Norizam atau digunakan secara sementara untuk mempersiapkan pasukannya untuk mengharungi saingan Liga Premier 2021 yang akan bermula hujung februari kelak.

Untuk makluman, setelah mengambil alih pasukan TRW Kelantan FC tahun lalu, Norizam meletakkan fokus utama untuk membina pusat latihan yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan.

Dimaklumkan Norizam sedia melabur sehingga RM10 juta untuk mengadakan padang setaraf dengan keperluan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), berbumbung dan disertakan dengan lampu limpah, bilik mandi, dewan makan, bilik dan sebagainya di pusat latihan tersebut.

Featured Image: TRW Kelantan FC

komen